ISLAMABAD – Tentera Pakistan mengumumkan pada 12 Ogos bahawa mereka telah membunuh 50 militan Islamis dalam operasi selama empat hari di wilayah barat daya Balochistan, kawasan strategik yang menempatkan projek utama Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China.
Menurut kenyataan tentera, operasi itu bermula 7 Ogos lalu di daerah Zhob, yang menjadi lokasi pergerakan militan Islamis dan pemberontak pemisah yang menuntut bahagian lebih besar daripada hasil kekayaan mineral Balochistan.
Militan yang disasarkan digelar sebagai “Khwarij” - istilah yang digunakan pemerintah untuk merujuk kepada Taliban Pakistan (TTP). “Pasukan keselamatan akan terus menjalankan operasi pencarian bagi menghapuskan baki militan yang masih bersembunyi,” kata pihak tentera.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif memuji tindakan itu sebagai “operasi yang berjaya” dan mengucapkan tahniah kepada anggota keselamatan. Tentera turut menuduh militan berkenaan “disokong India”, namun tidak mengemukakan bukti.
Pakistan secara konsisten menuduh India menyokong Taliban Pakistan dan kumpulan pemisah di Balochistan, serta menuduh kerajaan Taliban Afghanistan mengabaikan aktiviti militan di kawasan sempadan. Kedua-dua India dan Afghanistan menafikan dakwaan itu.
Pemerintah wilayah Balochistan turut mengesahkan bahawa perkhidmatan internet mudah alih digantung sehingga akhir Ogos bagi menghalang komunikasi kumpulan pemberontak.
Balochistan telah lama bergelut dengan pemberontakan kumpulan pemisah seperti Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), yang mahukan kemerdekaan daripada Pakistan.
BLA juga dikaitkan dengan serangan ke atas pasukan keselamatan Pakistan dan pekerja China yang terlibat dalam projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).
Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat mengumumkan penyenaraian BLA dan sayap bersenjatanya, Briged Majeed, sebagai “Organisasi Pengganas Asing” (FTO). Jurucakap Jabatan Negara Amerika berkata langkah itu diambil selepas kumpulan tersebut terus mendakwa bertanggungjawab atas beberapa serangan berdarah sejak ia pertama kali disenaraikan sebagai “Pengganas Global yang Ditetapkan Secara Khas” (SDGT) pada 2019.
“Penentuan ini menghantar mesej jelas bahawa keganasan tidak akan ditoleransi,” kata kenyataan itu.
Langkah Amerika ini diumumkan ketika Ketua Tentera Pakistan, Marsyal Asim Munir, melawat Washington, kurang dua minggu selepas kedua-dua negara mencapai perjanjian perdagangan yang membolehkan syarikat Amerika membangunkan sumber minyak di Balochistan dan mengurangkan tarif perdagangan untuk Islamabad.
Tiada ulasan segera daripada kumpulan pemisah Balochistan berhubung perkembangan ini. Namun, pemerhati menjangkakan ketegangan di wilayah tersebut akan terus memuncak walaupun operasi tentera berjaya melemahkan beberapa rangkaian militan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg