LONDON: Dua belas negara termasuk Britain, Canada dan Perancis mengumumkan rancangan untuk mengenakan sekatan perdagangan terhadap penempatan Israel di Tebing Barat, ketika keganasan pendatang haram terhadap penduduk Palestin dan peluasan penempatan di wilayah yang diduduki itu semakin mendapat kecaman antarabangsa.

Langkah yang diumumkan pada 8 September itu turut disokong Denmark, Finland, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden.

Dalam kenyataan bersama, menteri luar 12 negara itu berkata mereka berhasrat mengenakan sekatan nasional terhadap perdagangan barangan dari penempatan Israel yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, atau menyokong langkah serupa di peringkat Eropah.

Perancis, Britain dan Canada berkata mereka akan mengemukakan langkah nasional bagi melarang perdagangan barangan yang berasal dari penempatan tersebut.

Mereka turut mengalu-alukan tindakan yang telah diambil beberapa negara Eropah, termasuk Ireland, Sepanyol, Belanda, Norway dan Belgium.

Pengumuman itu dibuat ketika tekanan antarabangsa terhadap pemerintahan Israel meningkat berhubung peluasan penempatan serta serangan peneroka terhadap perkampungan Palestin di Tebing Barat.

“Keadaan semakin merosot dengan pantas apabila keganasan peneroka dan peluasan penempatan mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini,” menurut kenyataan bersama itu.

Kumpulan negara berkenaan turut membantah keputusan Israel meneruskan projek penempatan E1, yang menurut mereka boleh menjejaskan lagi kemungkinan mewujudkan penyelesaian dua negara.

Pelan E1, yang diluluskan Israel pada 2025 selepas tertangguh selama beberapa dekad, membabitkan rancangan membina kira-kira 1,200 rumah bagi peneroka Israel di Tebing Barat.

Projek itu dibimbangi akan memutuskan lagi hubungan antara Baitulmakdis Timur dengan kawasan Palestin lain di Tebing Barat.

“Kami dengan tegas menentang sebarang tindakan yang membawa kepada pengilhakan tanah Palestin dan pemindahan paksa penduduk Palestin,” kata kenyataan itu.

Mereka menggesa Israel menghentikan peluasan penempatan, selain memastikan peneroka yang melakukan keganasan dipertanggungjawabkan serta menyiasat dakwaan yang membabitkan pasukan Israel.

Britain mengambil langkah lebih jauh dengan mengumumkan larangan import barangan dari penempatan Israel di wilayah yang diduduki.

Ketika berucap di Parlimen Britain, Setiausaha Luar, Encik Ed Miliband, menuduh pemerintahan Israel menutup mata terhadap tindakan peneroka yang disifatkannya sebagai “pembersihan etnik”.

“Saya tidak percaya rakyat Britain mahu kita menyokong pendudukan dengan menerima produk dari penempatan di kedai dan pasar raya kita,” katanya.

Beliau berkata London juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat dan individu tertentu yang menyediakan perkhidmatan pembinaan, prasarana, pembiayaan atau hartanah bagi membantu peluasan penempatan.

Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, pula berkata negaranya akan menghentikan perdagangan dengan penempatan Israel di wilayah yang diduduki.

Perancis sejak beberapa minggu lalu menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan serupa, tetapi usaha itu berdepan tentangan sesetengah negara anggota.

Duta Amerika Syarikat ke Israel, Encik Mike Huckabee, mengkritik tindakan Britain dengan menyifatkannya sebagai diskriminasi terhadap pemerintahan Israel dan orang Yahudi.

Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, yang menyokong pengilhakan seluruh Tebing Barat, pula menggesa duta Britain ke Israel diusir.

Israel kemudian mengumumkan beberapa tindakan balas terhadap London.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata konsulat Britain di Baitulmaqdis Timur, yang ditauliahkan kepada Penguasa Palestin di Tebing Barat, akan ditutup.

Britain juga tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam misi penyelarasan pimpinan Amerika Syarikat bagi Gaza di Israel, manakala latihan Britain untuk pasukan Penguasa Palestin di Tebing Barat akan dihentikan.

Menurut Encik Saar, beberapa pegawai Britain yang dipilih serta warga negara itu juga akan dilarang memasuki Israel.

“Langkah Britain itu menyimpang dari segi moral dan merupakan campur tangan terang-terangan dalam urusan sebuah negara berdaulat serta proses pilihan rayanya,” katanya.

Encik Saar berkata tindak balas tersebut telah diselaraskan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu. Israel dijadual mengadakan pilihan raya pada akhir Oktober.

Encik Netanyahu sebelum ini berikrar akan terus memperluas penempatan Israel di Tebing Barat meskipun berdepan tekanan antarabangsa.

Lebih 500,000 warga Israel kini tinggal di penempatan di Tebing Barat, di tengah-tengah sekitar tiga juta penduduk Palestin.

Menurut perangkaan AFP berdasarkan data Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,105 rakyat Palestin terbunuh akibat tindakan tentera atau peneroka Israel di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023.

Dari sudut ekonomi, kesan langkah Britain mungkin terhad. Perdagangan antara Britain dengan Wilayah Palestin yang Diduduki bernilai sekitar £38 juta (S$66 juta) pada 2025.

Namun, tindakan 12 negara itu membawa mesej politik yang lebih besar, dengan tekanan terhadap Israel kini bergerak daripada kecaman diplomatik kepada usaha menyekat hubungan ekonomi dengan penempatan di Tebing Barat. - Agensi berita