Topik diikuti
Pergi ke BHkuBritain bakal kenakan sekatan ekonomi ke atas petempatan Israel di Tebing Barat
Britain bakal kenakan sekatan ekonomi ke atas petempatan Israel di Tebing Barat
LONDON: Britain dijangka mengumumkan sekatan ekonomi menyeluruh terhadap petempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki seawal 8 September, termasuk kemungkinan melarang import barangan yang dihasilkan di petempatan tersebut.
Menurut tujuh pegawai yang diberi taklimat mengenai langkah itu, sekatan berkenaan dijangka merangkumi larangan perdagangan barangan dari petempatan Israel.
Tiga pegawai berkata Britain juga mungkin mengenakan sekatan terhadap syarikat yang terlibat dalam pembinaan atau peluasan petempatan.
Jika dilaksanakan, langkah itu akan menandakan tindakan lebih tegas Britain terhadap dasar petempatan Israel selepas sekatan sebelum ini tertumpu kepada peneroka ekstremis tertentu dan dua menteri berhaluan kanan Israel.
Mantan Menteri Britain bagi Timur Tengah, Encik Tariq Ahmad, berkata langkah tersebut menunjukkan kerajaan Britain kini memperluaskan tumpuan sekatannya daripada individu kepada kegiatan dan sistem yang menyokong petempatan.
“Kerajaan sedang memperluaskan skop sekatan daripada individu kepada proses dan sistem,” katanya.
Langkah itu dibuat ketika tekanan antarabangsa terhadap Israel meningkat menyusuli perang Gaza dan peluasan petempatan serta peningkatan keganasan di Tebing Barat.
Britain, sekutu lama Israel, sejak sekian lama menentang pembinaan petempatan Israel di Tebing Barat yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
London berpandangan peluasan petempatan menjejas kemungkinan pembentukan sebuah negara Palestin pada masa depan.
Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967.
Kira-kira 3 juta rakyat Palestin tinggal di wilayah itu bersama sekitar 500,000 warga Israel yang menetap di petempatan.
Antara barangan yang dieksport dari petempatan tersebut ialah wain kosher, hasil pertanian dan produk plastik.
Sekatan perdagangan Britain dijangka mempunyai kesan ekonomi langsung yang terhad kerana barangan dari petempatan hanya membentuk sebahagian kecil daripada perdagangan tahunan Britain-Israel yang bernilai sekitar AS$8 bilion ($10.2 bilion).
Bagaimanapun, penganalisis berkata kepentingan utama tindakan itu terletak pada mesej politiknya dan kemungkinan ia mendorong negara Eropah lain mengambil langkah serupa atau lebih luas.
Sepanyol dan Belanda sebelum ini juga sudah mengenakan larangan terhadap produk dari petempatan Israel.
Penganalisis Majlis Eropah mengenai Hubungan Luar (ECFR), Encik Hugh Lovatt, berkata pengaruh politik dan ekonomi Britain boleh membantu mendorong tindakan lebih luas dalam kalangan negara Barat terhadap peluasan petempatan.
Menurutnya, tindakan bersama sedemikian penting bagi mempertahankan prospek penyelesaian dua negara Israel-Palestin yang semakin terhakis.
Pada Ogos, Britain turut mengecam keputusan pemerintahan Israel meneruskan rancangan membina rumah baru untuk pendatang haram di kawasan E1 di Tebing Barat, berhampiran Baitulmakdis.
Pengkritik berkata pembangunan E1 boleh memutuskan hubungan wilayah Palestin dan menyukarkan pembentukan sebuah negara Palestin yang mempunyai wilayah bersambung.
Setiausaha Luar Britain, Encik Ed Miliband, menyifatkan keputusan Israel itu sebagai “tindakan yang tidak boleh diterima dan merosakkan” serta berikrar mengambil langkah baru terhadap pihak yang terlibat dalam peluasan petempatan.
“Kita tidak mahu syarikat Britain membiayai, membina atau mengiklankan petempatan baru,” katanya di Parlimen.
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, pula memberi amaran bahawa Israel akan bertindak balas sekiranya Britain mengenakan sekatan baru, tetapi tidak menjelaskan bentuk tindak balas tersebut.
Rancangan Britain itu turut mendapat bantahan beberapa kumpulan Yahudi di negara tersebut.
Ketua Rabai Britain, Ephraim Mirvis, memberi amaran larangan perdagangan dengan petempatan boleh berkembang menjadi pemulauan lebih luas terhadap perdagangan dengan Israel.
Beberapa pemimpin masyarakat Yahudi turut meminta pemerintah Britain menangguhkan pengumuman itu sehingga selepas pilihan raya Israel pada Oktober.
Mereka berhujah tindakan sekarang boleh memberi kesan terhadap politik Israel ketika Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, berdepan persaingan sengit dengan pencabarnya.
Sebahagian anggota pembangkang Britain pula memberi amaran sekatan terhadap Israel boleh menjejaskan kerjasama keselamatan kedua-dua negara, termasuk perkongsian risikan.
Pemerintah Britain bagaimanapun menunjukkan ia bersedia meningkatkan tekanan ekonomi terhadap dasar petempatan Israel.
Langkah terbaru itu juga mencerminkan perubahan daripada pendekatan pemerintah terdahulu yang mengiktiraf negara Palestin, menggantung beberapa lesen eksport senjata ke Israel dan mengenakan sekatan terhadap dua menteri berhaluan kanan, tetapi tidak melaksanakan sekatan ekonomi lebih luas berkaitan petempatan. - Agensi berita
