Topik diikuti
Pergi ke BHku12 pengawal penjara Israel didakwa pukul tahanan Palestin hingga mati
BAITULMAKDIS: Pihak berkuasa Israel pada 1 September mendakwa 12 pengawal penjara atas tuduhan menyebabkan kematian seorang tahanan Palestin yang dipukul teruk di dalam sel hampir tiga tahun lalu.
Pendakwaan itu dianggap luar biasa ketika Israel berdepan dakwaan berulang daripada kumpulan hak asasi manusia mengenai penderaan dan keganasan terhadap tahanan Palestin di pusat tahanannya.
Encik Thaer Abu Asab, 38 tahun, meninggal dunia selepas dipukul di Penjara Ketziot di Gurun Negev pada 18 November 2023.
Menurut kertas pertuduhan yang difailkan Pejabat Pendakwa Raya Israel di Mahkamah Daerah Beersheba, 12 anggota Perkhidmatan Penjara Israel didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian secara melulu.
Mereka turut berdepan tuduhan serangan berat terhadap tahanan lain.
Pendakwa berkata pegawai kanan penjara, Walid Khatib, mengarahkan 11 pengawal di bawah seliaannya memasuki sebuah sel yang menempatkan Encik Abu Asab bersama lapan tahanan lain ketika pemeriksaan jumlah tahanan pada sebelah malam.
Sebaik memasuki sel itu, mereka didakwa menumbuk dan menendang tahanan, manakala sebahagian pengawal menggunakan belantan.
“Sebahagian mereka memukul tahanan dengan kuat menggunakan belantan ketika beberapa tahanan terbaring di lantai, menjerit dan menangis akibat pukulan yang diterima,” menurut kertas pertuduhan.
Khatib didakwa mengetuai pengawal memasuki sel berkenaan dan turut memukul sekurang-kurangnya seorang tahanan sambil mengawasi serangan tersebut.
Dia hanya mengarahkan pengawal berhenti dan meninggalkan sel selepas beberapa minit.
Tidak lama kemudian, Encik Abu Asab rebah dan tidak sedarkan diri. Beliau dibawa ke klinik penjara sebelum dipindahkan ke hospital, tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.
Menurut pendakwa, bedah siasat mendapati Encik Abu Asab mengalami kecederaan serius pada jantung dan sistem pernafasannya akibat pukulan itu.
Kecederaannya termasuk koyakan pada dinding kiri dan atrium kanan jantung serta beberapa tulang rusuk yang patah.
Kecederaan tersebut menyebabkan kegagalan jantung yang membawa kepada kematiannya.
Pendakwa mendakwa pengawal terbabit berniat mencederakan tahanan dan sedar tindakan mereka boleh membawa maut.
Insiden itu dikatakan bermula selepas Encik Abu Asab bertanya kepada seorang pengawal sama ada gencatan senjata telah dicapai dalam perang Gaza.
Soalan itu disampaikan kepada Khatib, yang kemudian didakwa mengarahkan pengawal memasuki sel ketika pemeriksaan tahanan, bertentangan dengan amalan biasa, untuk “menunjukkan kepada tahanan bahawa tiada gencatan senjata”.
Menurut kertas pertuduhan, Khatib pada hari sama turut berkongsi dengan beberapa tertuduh mengenai perasaannya terhadap kematian anggota tentera Israel daripada masyarakat Druze dalam pertempuran di Gaza.
Encik Abu Asab, yang berasal dari Tebing Barat, merupakan anggota Fatah, kumpulan utama Palestin yang menguasai Penguasa Palestin.
Beliau ditahan sejak 2005 dan menjalani hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan keselamatan.
Media Israel melaporkan beliau disabitkan atas cubaan membunuh.
Kes itu mendapat perhatian kerana kumpulan hak asasi manusia sejak beberapa tahun lalu mendakwa berlaku penderaan sistematik terhadap tahanan Palestin, terutama selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 dan tercetusnya perang Gaza.
Keadaan tahanan keselamatan Palestin juga diperketatkan di bawah Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Encik Itamar Ben-Gvir, yang kementeriannya menyelia perkhidmatan penjara.
Jawatankuasa Awam Menentang Penyeksaan di Israel (PCATI) berkata lebih 100 tahanan Palestin meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak Oktober 2023.
Kumpulan itu berkata pendakwaan terhadap 12 pengawal berkenaan merupakan kes pertama yang diketahuinya sejak perang Gaza bermula membabitkan pertuduhan berhubung kematian seorang tahanan Palestin.
Pengarah PCATI, Cik Sari Bashi, menyifatkan pendakwaan tersebut sebagai sesuatu yang jarang berlaku.
“Pendakwaan ini merupakan pengecualian daripada keadaan apabila penyeksaan dan layanan buruk terhadap tahanan tidak membawa kepada pertanggungjawaban,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa Israel meneruskan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian Abu Asab serta puluhan tahanan lain.
Seorang peguam yang mewakili seorang daripada pengawal, Encik Adi Keidar, berkata kesemua 12 tertuduh menafikan mereka mendera tahanan.
Menurutnya, pertuduhan itu akan “sukar dibuktikan” dan perbicaraan mungkin mengambil masa bertahun-tahun kerana jumlah tertuduh yang ramai.
Abang Abu Asab, Encik Muadh Abu Asab, pula berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian adiknya akan dibawa ke muka pengadilan.
“Kami berharap perkara itu berlaku dan Israel akhirnya memulangkan jenazahnya kepada kami untuk dikebumikan,” katanya. “Kami tidak mahu apa-apa lagi.” - Agensi berita
