Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 terbunuh, hujan lebat lumpuhkan Kolkata menjelang perayaan Durga Puja

Sep 24, 2025 | 4:55 PM
Orang ramai meredah jalan yang digenangi air selepas hujan lebat di kota timur India, Kolkata, 23 September 2025. Jabatan Meteorologi India (IMD) telah mengeluarkan amaran kuning bagi ribut petir dengan kilat serta hujan lebat, yang dijangka mengganggu kehidupan harian di Bengal Barat untuk tiga hari akan datang.
Orang ramai meredah jalan yang digenangi air selepas hujan lebat di kota timur India, Kolkata, 23 September 2025. Jabatan Meteorologi India (IMD) telah mengeluarkan amaran kuning bagi ribut petir dengan kilat serta hujan lebat, yang dijangka mengganggu kehidupan harian di Bengal Barat untuk tiga hari akan datang. - Foto EPA

KOLKATA: Sekurang-kurangnya 12 orang maut selepas hujan lebat melanda kota timur India, Kolkata, dan kawasan sekitarnya, hanya beberapa hari sebelum perayaan terbesar Hindu, Durga Puja. Hujan berterusan itu menyebabkan banjir besar, melumpuhkan sistem pengangkutan dan menjejaskan persiapan festival tahunan tersebut.

Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), sebanyak 251.6 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 23 September, menjadikannya hujan paling lebat sejak 1988. “Hujan yang turun sepanjang awal pagi adalah yang terburuk dalam tempoh hampir empat dekad,” kata Encik HR Biswas, Ketua IMD di Kolkata.

Polis Kolkata mengesahkan sembilan daripada mangsa maut akibat renjatan elektrik, manakala dua lagi dilaporkan lemas selepas terperangkap dalam banjir. “Sebahagian besar kematian berpunca daripada kabel elektrik terdedah yang terkena air banjir. Ini amat membimbangkan,” kata seorang pegawai polis tempatan.

Banjir ini turut memberi tamparan hebat kepada persiapan Durga Puja, festival keagamaan terbesar di negeri Bengal Barat. Banyak pandal iaitu struktur sementara yang dibina daripada buluh untuk menempatkan patung tanah liat dewa dewi rosak teruk ditenggelami air.
“Perayaan ini sepatutnya menjadi saat yang penuh warna-warni, tetapi keadaan banjir menjejaskan semangat kami,” kata Encik Sandip Ghosh, penduduk tempatan, kepada agensi berita ANI.

Hujan berterusan menyebabkan jalan utama ditenggelami air paras pinggang. Banyak kenderaan terperangkap, manakala ribuan penumpang terpaksa meredah banjir untuk ke destinasi masing-masing.

Sistem pengangkutan turut lumpuh. Beberapa penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan atau ditangguhkan, manakala gangguan bekalan elektrik melanda beberapa kawasan selama berjam-jam.

“Saya terperangkap di hotel selepas penerbangan dibatalkan dan jalan raya semuanya digenangi air,” kata Encik Ranjan Panda, pakar air dan iklim, yang berada di Kolkata ketika hujan melanda.

Pihak berkuasa negeri telah mengerahkan pam air bagi mengosongkan jalan raya serta landasan kereta api. Bantuan kecemasan termasuk pengagihan makanan sedang dijalankan di kawasan terjejas.

Pemerintah negeri turut mengumumkan penutupan sekolah dan institusi pendidikan untuk dua hari, sebelum cuti rasmi perayaan bermula pada 26 September.
IMD meramalkan hujan tambahan bakal turun dalam beberapa hari akan datang akibat pembentukan sistem tekanan rendah di Teluk Bengal.

Pegawai pemerintah berkata keadaan dijangka beransur pulih menjelang petang 24 September, namun menyeru penduduk terus berwaspada, terutama di kawasan rendah. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg