LAHORE/SRINAGAR: Bandar Chiniot dan Hafizabad di timur Pakistan berdepan risiko banjir besar jika bendungan pengairan runtuh di hulu sungai selepas hujan lebat melebihi kapasiti, para pegawai memberi amaran pada 28 Ogos.
India dan Pakistan kini bergelut dengan hujan monsun lebat yang telah menyebabkan banjir kilat serta air sungai dan empangan melimpah.
Sebanyak 60 kematian dicatat pada Ogos di Kashmir India, dan 805 di Pakistan sejak akhir Jun.
Sebarang banjir yang dipersalahkan ke atas India akan menyemarakkan ketegangan antara dua negara berjiran itu yang terlibat dalam konflik singkat pada Mei dan menyaksikan pertempuran terburuk dalam beberapa dekad.
Perairan sungai Chenab di wilayah Punjab, Pakistan, mengancam memecahkan bendungan konkrit sepanjang 1,000 meter di Qadirabad yang mengawal aliran air.
“Ia adalah keadaan krisis,” kata Pakar Teknikal, Penguasa Pengurusan Bencana Negara, sambil menambah bahawa keruntuhan bendungan itu boleh menghanyutkan bandar Chiniot dan Hafizabad, yang menempatkan lebih 2.8 juta penduduk.
“Di bawah pengawasan berterusan pakar dan pentadbiran, paras air semakin surut, namun masih belum melepasi paras bahaya,” tambah pegawai itu.
Ancaman banjir besar itu timbul apabila India melepaskan lebihan air dari empangan sungainya yang mengalir ke hilir wilayah Punjab – menempatkan separuh penduduk Pakistan berjumlah sekitar 240 juta orang.
Pihak berkuasa berkata Pakistan telah memindahkan lebih 210,000 penduduk kampung berhampiran sungai Ravi, Sutlej dan Chenab yang mengalir dari India, selepas hujan lebat melanda wilayah utara Jammu, membunuh 60 orang pada Ogos.
India secara rutin mengeluarkan air dari empangannya apabila terlalu penuh, dengan lebihan air itu mengalir ke Pakistan.
New Delhi turut menyertakan amaran banjir, yang disifatkannya sebagai langkah kemanusiaan.
Pegawai Pakistan berkata pada 28 Ogos bahawa India memberi amaran banjir ketiga, kali ini di wilayah Sutlej, manakala dua amaran sebelum ini melibatkan wilayah sekitar sungai Ravi.
Seramai 12 orang terbunuh minggu ini di Punjab akibat hujan lebat dan banjir, kata Cik Marriyum Aurangzeb, seorang menteri kanan dalam pemerintah wilayah. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg