KISHTWAR (INDIA): Pasukan penyelamat di India pada 15 Ogos terus menggali lumpur dan runtuhan bagi mencari mangsa yang hilang selepas banjir kilat mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang di sebuah kampung di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Bencana berlaku di Kampung Chositi, daerah Kishtwar, selepas hujan lebat luar biasa yang dikenali sebagai cloudburst menyebabkan banjir dan tanah runtuh.
Antara yang hilang ialah puluhan pengikut Hindu yang sedang menuju ke kuil di kawasan pergunungan.
Pegawai pengurusan bencana, Encik Mohammad Irshad, berkata sehingga 14 Ogos malam, sekurang-kurangnya 80 orang masih belum ditemui dan jumlah itu dijangka meningkat.
“Pencarian mangsa hilang sedang dipergiatkan. Setakat ini, 60 orang disahkan maut dan kira-kira 50 yang cedera parah telah dibawa ke hospital,” katanya kepada AFP.
Banjir turut menghanyutkan dapur besar yang menampung lebih 200 pengikut, puluhan kenderaan, serta memusnahkan rumah-rumah di kaki bukit.
Seorang mangsa terselamat memberitahu agensi Press Trust of India bahawa beliau terdengar “letupan besar” ketika tembok air membadai penempatan itu.
“Kami sangka ia gempa bumi,” katanya.
Angkatan Tentera India memaklumkan anggota mereka “berdepan cuaca buruk dan kawasan berbukit untuk memindahkan mangsa yang cedera”.
Jentera berat digunakan bagi mengalihkan lumpur, batu besar, dan runtuhan yang dibawa arus dari lereng gunung.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, dalam ucapan Hari Kemerdekaan di New Delhi, berkata: “Negara berdepan bencana alam termasuk tanah runtuh dan cloudburst sejak kebelakangan ini. Simpati kami bersama mangsa. Pemerintah negeri dan pusat bekerjasama sepenuhnya.”
Seorang penduduk tempatan, Encik Abdul Majeed Bichoo, 75 tahun, menggambarkan Chositi kini “musnah dari segala arah” dan berkata beliau menyaksikan lapan mayat dikeluarkan dari lumpur.
“Sepanjang hidup, saya tidak pernah melihat kemusnahan seperti ini,” katanya.
Pegawai mengesahkan ibadat tahunan ke kuil di pergunungan pada ketinggian 3,000 meter telah digantung.
Lebih banyak pasukan penyelamat dihantar untuk memperkukuh operasi mencari dan menyelamat.
Pakar memberi amaran bahawa perubahan iklim dan pembangunan tidak terancang di kawasan pergunungan meningkatkan kekerapan serta kesan buruk cloudburst, sekali gus mengancam ekosistem rapuh di wilayah Himalaya, termasuk Kishtwar yang menempatkan beberapa projek hidroelektrik. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg