HONG KONG: Seramai 12 orang diselamatkan daripada kereta luncur kecepatan tinggi atau ‘roller coaster’ di Disneyland Hong Kong selepas alat permainanan itu tiba-tiba berhenti berfungsi pada petang 7 Februari.
Menurut polis dan pasukan bomba, mereka telah mengerahkan berpuluh-puluh anggota ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian tersebut dan dilaporkan mereka ‘tergantung’ sekitar satu jam.
Polis dan perkhidmatan bomba telah menerima panggilan bagi mendapatkan bantuan sekitar 3.16 petang apabila Disney Hyperspace Mountain yang para pengunjung naiki tidak semena-mena berhenti.
Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan tiada asap atau kebakaran dikesan di tempat kejadian, kata jurucakap polis.
Penumpang telah dikeluarkan daripada ‘roller coaster’ itu sekitar 4.16 petang, kata seorang pegawai bomba yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat di tempat kejadian.
Kira-kira 40 anggota bomba telah dikerahkan ke Disneyland Hong Kong, yang terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa Hong Kong, kata pegawai tersebut.
Pihak pengurusan taman permainan itu tidak segera memberi komen ketika diminta mengulas mengenai insiden itu.
Permainan Hyperspace Mountain digambarkan di laman web Disney sebagai meroket ke dalam pertempuran Star Wars. Ciri utama permainan itu termasuklah pengalaman tiba-tiba terperuk ke bawah dan terjerumus ke dalam kegelapan.
Ia sepatutnya ditutup untuk penyelenggaraan rutin dan pemeriksaan, dari 26 Februari hingga 1 Mac ini mengikut notis di laman web Hong Kong Disneyland. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg