Seramai 12 warga Singapura yang dipercayai anggota sebuah sindiket vape, yang mengimport vape dari Malaysia dan mengedarkannya di Singapura, telah diberkas pada 16 Oktober dan didakwa di mahkamah pada 18 Oktober.
Pihak polis dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) merampas lebih 64,000 vape dan komponen bernilai lebih $560,000 semasa serbuan ke atas sindiket itu, menjadikannya salah satu kes vape terbesar setakat ini di Singapura pada 2025, lapor The Straits Times (ST).
Kesemua tertuduh, 11 lelaki dan seorang wanita, yang berusia antara 25 dengan 35 tahun, didakwa terlibat membekalkan vape kepada penduduk di Singapura, kata polis dan HSA dalam satu kenyataan bersama pada awal pagi 18 Oktober.
Empat daripada lelaki itu – Teo Jin Rui, 28 tahun; Adrian Chia Hong Qing, 32 tahun; Ng Tai Lun, 27 tahun dan Wong Ee Wei, 28 tahun – didakwa terlibat dalam konspirasi memiliki 12,364 vape untuk dijual di sebuah hartanah berhalaman di Lentor Lane, Yio Chu Kang
Baki lapan tertuduh – Kenneth Tan Hong Chang, 30 tahun; Cheong Tian Lin, 25 tahun; Tan Boon Hao, 30 tahun; Roy Tan Jun Jie, 33 tahun; Tan Yi Tan, 30 tahun; Nigel Khing Yao Zhi, 27 tahun; Feelix Teo Wang Chye, 29 tahun, dan Tiffany Lim, 29 tahun – masing-masing dikenakan satu pertuduhan kerana memiliki vape untuk dijual.
Kenneth, khususnya, dikatakan memiliki 4,573 vape untuk dijual di kondominium The Commodore di Canberra Drive, Sembawang.
Pada 16 Oktober, pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Perisikan Polis dan Pasukan Gerakan Khas melancarkan operasi di sebuah tempat letak kereta berhampiran Ang Mo Kio Avenue 5 – tempat anggota sindiket berkumpul dan mengedarkan vape.
Menyusulinya, pihak berkuasa melakukan serbuan di Upper Jurong Road, Canberra Drive dan Jalan Sendudok di Sembawang termasuk di dua lokasi penyimpanan yang digunakan sindiket berkenaan.
Gambar serbuan menunjukkan sebuah bilik dipenuhi kotak kadbod disusun hampir ke siling dan rak penyimpanan dipenuhi dengan vape dan komponennya.
Selain merampas produk terlarang itu, polis juga merampas wang tunai lebih $16,000, telefon bimbit, kad SIM dan lapan kereta yang dipercayai digunakan untuk mengedar vape.
Kesemua tertuduh kini ditahan reman. Kes mereka akan didengar lagi pada 23 Oktober.
Jika sabit kesalahan, setiap suspek berdepan denda sehingga $10,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg