120 tahanan ISIS larikan diri dari penjara Syria, laman web Kurdi dakwa 1,500
120 tahanan ISIS larikan diri dari penjara Syria, laman web Kurdi dakwa 1,500
KAHIRAH: Kementerian Dalam Negeri Syria berkata pada 20 Januari bahawa sekitar 120 tahanan ISIS telah melarikan diri dari penjara Shaddadi.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas laman web Kurdi Rudaw melaporkan bahawa jurucakap Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai puak Kurdish, Encik Farhad Shami, berkata kira-kira 1,500 anggota IS telah melarikan diri daripada penjara tersebut.
Kementerian Syria berkata unit tentera Syria dan pasukan khasnya telah memasuki penjara Shaddadi susulan kejadian itu.
Ia berkata pasukan keselamatan telah menangkap semula 81 orang yang melarikan diri selepas operasi dijalankan di bandar dan kawasan sekitarnya.
Usaha berterusan masih dijalankan untuk menangkap baki pelarian.
Terdahulu, tentera Syria berkata “sebilangan” militan ISIS telah melarikan diri dari penjara yang berada di bawah kawalan SDF di bandar timur Shaddadi, menuduh SDF membebaskan mereka.
Selepas berhari-hari berperang dengan pasukan pemerintah, SDF bersetuju pada18 Januari untuk berundur dari Raqqa dan Deir al-Zor, dua wilayah majoriti Arab yang mereka kuasai selama bertahun-tahun dan merupakan lokasi pengeluaran minyak utama Syria.
Dalam pada itu, Presiden Syria Encik Ahmed al-Sharaa dilaporkan akan meneruskan perjanjian yang diumumkan pada 18 Januari dengan ketua militia yang diketuai oleh SDF yang merangkumi gencatan senjata, selepas pasukan pemerintah mara merentasi kawasan di utara dan timur negara itu.
Pemimpin SDF, Encik Mazloum Abdi, berkata beliau bersetuju dengan perjanjian itu untuk mengelakkan perang yang lebih luas dan akan bertemu dengan Encik Sharaa pada 19 Januari di Damsyik.
Ia berlaku selepas pertempuran maut di bandar Raqqa, Syria pada 18 Januari antara pasukan pimpinan Kurdi dengan pejuang tempatan yang setia kepada Damsyik, susulan penaklukan tentera ke atas kawasan yang dikuasai SDF awal bulan ini.
Perjanjian itu juga akan menyaksikan pentadbiran dan pasukan Kurdi berintegrasi ke dalam negeri selepas berbulan-bulan rundingan terhenti mengenai isu tersebut.
Sumber Kurdi yang enggan namanya disiarkan berkata perbincangan mereka meliputi beberapa topik, terutama “penyepaduan SDF ke dalam tentera Syria untuk membangunkan tentera Syria bagi melindungi semua rakyat Syria”.
“Terdapat perbincangan positif mengenai pindaan perlembagaan yang akan memastikan perwakilan semua komponen di Syria,” tambah sumber. - Agensi berita.

