Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria umum gencatan senjata menyeluruh dengan kaum Kurdi

Oct 8, 2025 | 12:09 PM
Kurdish, Kurdi, Qamishli
Penduduk keturunan Kurdi mengangkat bendera semasa perhimpunan menggesa pentadbiran autonomi dan hak Kurdi di bandar Qamishli di timur laut Syria pada 17 September. - Foto AFP

DAMSYIK: Syria mengumumkan gencatan senjata menyeluruh dengan tentera Kurdi selepas pertemuan pada 7 Oktober antara Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, dengan pemimpin Kurdi, Encik Mazloum Abdi, susulan pertempuran maut di bandar utara Aleppo.

Namun, pihak berkuasa Syria, yang mengambil alih kuasa pada 2024 selepas menggulingkan rejim Encik Bashar al-Assad, telah menolak tuntutan kaum Kurdi untuk membentuk pemerintah tidak berpusat.

Isu itu telah menambah ketegangan dengan pentadbiran Kurdi yang mengawal kawasan di utara dan timur laut, manakala perbezaan antara kededua pihak telah menghalang pelaksanaan perjanjian 10 Mac mengenai penyepaduan institusi awam dan ketenteraan Kurdi ke dalam negeri itu.

Dalam satu kenyataan menerusi wadah X, Menteri Pertahanan Syria, Encik Murhaf Abu Qasra, berkata beliau telah bertemu di Damsyik dengan Ketua Pasukan Demokratik Syria (SDF), Encik Abdi, yang disokong oleh Amerika Syarikat dan kaum Kurdi.

“Kami bersetuju melaksanakan gencatan senjata menyeluruh di semua bidang dan mengenai penempatan tentera di utara dan timur laut Syria,” kata Encik Qasra sambil menambah perjanjian itu dilaksanakan serta-merta.

Sumber pemerintah menyatakan pertemuan itu dibuat selepas Encik Sharaa bertemu Encik Abdi, iaitu pertemuan pertama sedemikian sejak Julai, dan mereka telah membincangkan “isu keselamatan berhubung perjanjian 10 Mac”.

Utusan Amerika ke Syria Encik Tom Barrack, dan Ketua Komando Pusat tentera Amerika Laksamana Brad Cooper, turut hadir, tambah sumber tersebut.

Sumber Kurdi yang enggan namanya disiarkan berkata perbincangan mereka meliputi beberapa topik, terutama “penyepaduan SDF ke dalam tentera Syria untuk membangunkan tentera Syria bagi melindungi semua rakyat Syria”.

“Terdapat perbincangan positif mengenai pindaan perlembagaan yang akan memastikan perwakilan semua komponen di Syria,” tambah sumber.

Dalam wadah X pada 6 Oktober, Encik Barrack berkata beliau dan Laksamana Cooper telah melawat timur laut Syria untuk “perbualan bermakna” dengan Encik Abdi.

Pemimpin Kurdi itu berkata mereka telah membincangkan antara lain, “isu yang bertujuan menyokong penyepaduan politik di Syria, memelihara kewibawaan wilayah negara, dan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua komponen rakyat Syria”.

Dalam satu kenyataan, Encik Sharaa berkata beliau telah bertemu Encik Barrack dan Laksamana Cooper pada 7 Oktober untuk membincangkan “perkembangan terkini di Syria, cara menyokong proses politik dan meningkatkan keselamatan dan kestabilan, serta mekanisme untuk melaksanakan perjanjian 10 Mac.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg