BOGOR: Angka korban akibat banjir yang melanda sebuah lombong emas haram di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, meningkat kepada 13 orang, manakala 13 lagi masih hilang dan dikhuatiri terperangkap di dalam lubang lombong tersebut.

Tragedi itu berlaku selepas hujan lebat melanda kawasan perlombongan emas Pongkor, di daerah Nanggung, pada 23 November, menyebabkan sungai berhampiran melimpah dan air bercampur lumpur memasuki dua lubang lombong.

Ketua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tempatan, Cik Desiana Kartika Bahari, berkata sehingga pagi 26 November, sebanyak 13 mayat telah ditemui, manakala usaha mengesan 13 lagi pelombong diteruskan.

Operasi menyelamat berdepan pelbagai cabaran, termasuk lubang lombong yang sempit dengan kedalaman sekitar 100 meter, pencahayaan terhad serta keadaan muka bumi yang licin berikutan hujan.

Keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim hujan turut meningkatkan risiko tanah runtuh di sekitar kawasan perlombongan tersebut.

“Segala usaha dilakukan dengan mengambil kira keadaan di lokasi kejadian dan mengutamakan keselamatan anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat,” kata Cik Desiana dalam satu kenyataan.

Jurucakap Polis Jawa Barat, Encik Hendra Rochmawan, berkata 11 pelombong berjaya menyelamatkan diri sebelum air membanjiri lubang lombong pada malam kejadian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa hanya dimaklumkan mengenai kejadian pelombong terperangkap itu pada keesokan harinya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ketua Polis Bogor, Encik Arfan Zulkan Sipayung, berkata kejadian bermula sekitar 6 petang pada 23 November apabila hujan lebat melanda kawasan Gunung Butak, khususnya di sekitar Sungai Ciseureuh.

Kira-kira lima jam kemudian, sungai tersebut melimpah, menyebabkan air bercampur lumpur mula memasuki dua lubang lombong emas yang beroperasi tanpa lesen.

“Sekitar 11 malam, limpahan air Sungai Ciseureuh yang bercampur lumpur mula meresap masuk ke dalam dua lubang lombong emas haram,” katanya pada 26 November.

Menurut Encik Arfan, kedua-dua lubang lombong tersebut masing-masing dimiliki individu yang dikenali sebagai Dede Epin dan Ules.

Di lombong milik Dede Epin, sekitar 30 pelombong dilaporkan memasuki lubang berkenaan, dengan 11 daripada mereka berjaya keluar dan menyelamatkan diri.

Ketua Polis Jawa Barat, Encik Hengki, pula berkata pihak berkuasa menerima laporan kehilangan daripada 26 keluarga susulan kejadian tersebut.

Daripada 13 mayat yang telah dibawa keluar, enam telah dikenal pasti menerusi proses pengecaman yang dijalankan pasukan polis berdasarkan maklumat mangsa sebelum dan selepas kematian.

Usaha mengenal pasti baki mangsa masih diteruskan.

Encik Hengki berkata operasi mencari baki 13 pelombong diteruskan selepas pasukan penyelamat menjalankan penilaian terhadap keadaan di lokasi kejadian.

Operasi itu melibatkan beberapa agensi, termasuk Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), polis, tentera, pasukan bomba, Palang Merah Indonesia serta syarikat perlombongan PT Aneka Tambang (Antam).

Beliau berkata Basarnas diberi tanggungjawab menyelaras keseluruhan operasi, termasuk menentukan sama ada usaha mencari mangsa boleh diteruskan atau perlu dihentikan sementara demi keselamatan anggota penyelamat.

Pihak berkuasa turut menggesa keluarga mangsa supaya tidak menjalankan usaha mencari secara bersendirian.

Keadaan jalan yang licin, hujan lebat serta kemungkinan berlaku tanah runtuh boleh membahayakan mereka yang memasuki kawasan tersebut tanpa peralatan dan kemahiran khusus.

Lokasi lombong emas haram itu terletak di kawasan berbukit dan terpencil dalam kawasan konsesi perlombongan milik Antam di Pongkor.

Laluan menuju ke kawasan perlombongan tradisional tersebut juga sukar dilalui kerana keadaan muka bumi yang curam dan kedudukannya yang jauh daripada jalan utama.

Ketua Pasukan Kecemasan BPBD Bogor, Encik Andi Sumardi, berkata laluan menuju ke kawasan perlombongan tersebut agak berliku dan sukar dikenal pasti oleh mereka yang tidak biasa dengan kawasan berkenaan.

Sementara itu, polis telah memulakan siasatan terhadap kegiatan perlombongan emas tanpa lesen di kawasan konsesi Antam susulan tragedi yang meragut nyawa tersebut.

Encik Arfan mengesahkan bahawa bahagian siasatan jenayah Polis Bogor telah menerima laporan rasmi daripada wakil Antam mengenai kegiatan perlombongan emas haram di kawasan yang berada di bawah lesen perlombongan syarikat tersebut.

Siasatan itu dijalankan sedang pasukan penyelamat terus berusaha mengesan pelombong yang masih hilang.

Kawasan perlombongan emas haram berkenaan tersembunyi di kawasan perbukitan, menjadikannya sukar dikesan oleh mereka yang tidak mengenali keadaan setempat.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, pihak berkuasa masih berharap terdapat pelombong yang mampu bertahan di dalam lubang lombong tersebut.

Encik Hendra berkata pasukan penyelamat akan terus berusaha mencari mangsa, dengan mengambil kira keadaan cuaca dan tahap keselamatan di kawasan kejadian.

“Kami berharap mereka masih mampu bertahan dan dapat diselamatkan. Jika tidak, sekurang-kurangnya pasukan penyelamat dapat menemui baki 13 mangsa itu,” katanya. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti