Risiko lombong emas haram di Riau terus ragut nyawa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Risiko lombong emas haram di Riau terus ragut nyawa

Feb 10, 2026 | 1:23 PM

Risiko lombong emas haram di Riau terus ragut nyawa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indonesia, Riau, lombong emas haram, tanah runtuh, hujan, Basarnas
Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa selepas hujan lebat selama beberapa jam mencetuskan banjir dan tanah runtuh berhampiran sebuah lombong emas di kawasan pedalaman berhampiran Manokwari, Papua Barat, dalam foto edaran Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas). - Foto BASARNAS.

RIAU: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di sebuah lombong emas haram di daerah Kuantan Tengah, Kabupaten (Daerah) Kuantan Singingi, Riau, pada 6 Februari, sekali lagi menyorot bahaya serius perlombongan tanpa kawal selia yang terus meragut nyawa di beberapa wilayah Indonesia.

Pihak berkuasa memaklumkan kejadian berlaku sekitar 3 petang ketika mangsa, yang dikenali sebagai PA, sedang mengendalikan sebuah mesin pemadat tanah, digunakan untuk memadatkan tanah, pasir dan batu kerikil.

Ketika operasi dijalankan, tebing berhampiran kawasan perlombongan itu tiba-tiba runtuh dan menimbus mangsa dengan timbunan tanah serta runtuhan batu.

Dua rakan sekerja mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada penduduk setempat dan pihak polis.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama kira-kira dua jam sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada malam yang sama, lapor, The Jakarta Post.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuantan Singingi, Inspektor Dua Lukman, berkata siasatan awal mendapati kegiatan perlombongan itu dijalankan secara haram di atas tanah milik keluarga mangsa.

“Hasil siasatan awal menunjukkan mesin pemadat tanah itu milik mangsa sendiri, dan tanah yang digunakan untuk perlombongan emas haram tersebut dimiliki oleh ibu bapanya,” katanya pada 8 Februari.

Menurutnya, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan mengambil keterangan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan berhubung insiden berkenaan.

Ketua Polis Kuantan Singingi, Superintenden Kanan Hidayat Perdana, melahirkan rasa dukacita atas kematian mangsa dan menegaskan bahawa pihak berkuasa telah berulang kali memberi amaran kepada masyarakat tentang bahaya perlombongan emas haram.

“Risiko perlombongan haram amat tinggi. Tahap keselamatan pekerjaan yang rendah sering membawa kepada kehilangan nyawa.

“Kami berharap tragedi ini menjadi amaran terakhir agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Menurut Encik Hidayat, pihak polis telah meningkatkan operasi membanteras kegiatan perlombongan haram di Kuantan Singingi.

Pada 5 Februari lalu, dua individu ditahan di Kampung Petapahan kerana disyaki mengendalikan lombong emas haram.

Dua hari sebelumnya, lima lagi individu ditahan di Kampung Banai Kecil, dengan seorang daripadanya didakwa menyimpan dan memproses emas hasil perlombongan haram.

Pada akhir Januari, dua pelombong turut ditahan di Kampung Pulau Kedundung atas kesalahan sama.

Kejadian di Kuantan Singingi merupakan yang terkini dalam siri kemalangan maut berkait perlombongan emas haram sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada 20 Januari, satu runtuhan tanah di lombong emas haram di Kampung Temenggug, Kabupaten Sarolangun, Jambi, menimbus 12 pelombong. Empat dapat diselamatkan manakala lapan lagi terkorban.

Sebelum itu, pada 13 Januari, seramai 11 individu maut akibat kebocoran gas beracun ketika menjalankan kegiatan perlombongan emas secara haram di kawasan lombong yang dikendalikan syarikat milik pemerintah PT Aneka Tambang, di Gunung Pongkor, Kabupaten Bogor, Jawa Barat.

Masalah perlombongan emas haram turut mempunyai dimensi ekonomi berskala besar.

Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) melaporkan antara 2023 dengan 2025, aliran urus niaga berkaitan perlombongan emas haram di seluruh negara mencecah 185 trilion rupiah ($13.96 bilion).

Lebih 155 trilion rupiah daripadanya dikesan mengalir ke akaun syarikat yang dipercayai dimiliki pemain utama rangkaian perlombongan haram, dengan sebahagian hasil haram turut dikesan mengalir ke luar negara melalui eksport emas ke Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Direktorat Jenayah Khas di Badan Siasatan Jenayah, Polis Republik Indonesia memetakan sebanyak 1,517 tapak perlombongan haram di seluruh Indonesia pada 2025, melibatkan pelbagai komoditi termasuk emas, timah dan arang batu.

Timbalan pengarahnya, Feby Dapot Hutagalung, berkata Sumatera Utara mencatat jumlah tertinggi dengan 396 tapak, diikuti Jawa Barat (314) dan Kalimantan Selatan (230), sambil menambah bahawa operasi tersebut sering mendapat sokongan pihak berkepentingan berpengaruh.

Lonjakan harga emas sejagat pula dikenal pasti sebagai pemangkin utama peluasan kegiatan perlombongan haram.

Menurut kumpulan alam sekitar Auriga Nusantara, keluasan kawasan perlombongan emas haram meningkat daripada 366 hektar pada 2021 kepada 7,232 hektar pada 2023.

Walaupun beberapa wilayah seperti Riau dan Sumatera Barat cuba meluluskan sebahagian perlombongan emas rakyat bagi tujuan kawal selia dan keselamatan, kumpulan alam sekitar memberi amaran langkah itu sahaja tidak mencukupi dan berisiko memperluas kerosakan alam sekitar serta meningkatkan kebarangkalian bencana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg