JAKARTA: Sekurang-kurangnya 26 pelombong terperangkap dalam dua lubang lombong emas haram di daerah Bogor, Jawa Barat, Indonesia, selepas hujan lebat menyebabkan sungai berhampiran melimpah dan membanjiri kawasan perlombongan tersebut.

Kejadian itu berlaku pada malam 23 November di kawasan perlombongan milik syarikat PT Aneka Tambang (Antam) di Desa Bantar Karet, Nanggung, berhampiran Gunung Butak.

Sehingga 25 November, kesemua 26 pelombong itu masih belum dapat diselamatkan, manakala keadaan mereka belum diketahui.

Jurucakap Polis Jawa Barat, Encik Hendra Rochmawan, berkata pasukan mencari dan menyelamat berdepan pelbagai cabaran, termasuk hujan berterusan, laluan masuk yang sempit serta risiko tanah runtuh di dalam lombong.

“Setakat ini, terdapat 26 orang yang masih belum dapat dibawa keluar.

“Pasukan penyelamat sedang berusaha sedaya upaya memasuki lubang lombong itu meskipun berdepan cabaran cuaca hujan dan laluan masuk yang sempit,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 November.

Menurut laporan polis, hujan lebat mula melanda kawasan Gunung Butak sekitar 6 petang pada 23 November.

Kira-kira lima jam kemudian, paras air Sungai Ciseureuh meningkat dengan mendadak sehingga air melimpah masuk ke dalam dua lubang lombong emas yang dikendalikan secara haram.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Berdasarkan keterangan saksi, sekitar 30 pelombong sedang bekerja di dalam lubang lombong pertama ketika kejadian berlaku.

Daripada jumlah itu, 11 orang berjaya menyelamatkan diri sebelum air memenuhi laluan lombong, manakala 19 yang lain dipercayai masih terperangkap.

Tujuh lagi pelombong dipercayai berada di dalam lubang lombong kedua.

“Menurut keterangan saksi, sekitar tujuh orang memasuki lubang kedua. Oleh itu, jumlah sementara mangsa yang masih terperangkap ialah 26 orang,” kata Encik Hendra.

Pihak polis hanya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 24 November, sekitar 3.30 petang, hampir 17 jam selepas para pelombong dipercayai terperangkap.

Sebelum pihak berkuasa dimaklumkan, penduduk setempat dan anggota keluarga mangsa telah berusaha menyelamatkan pelombong terbabit dengan menggunakan pam air bagi mengeluarkan air yang memenuhi lubang lombong.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil kerana hujan lebat yang berterusan menyebabkan Sungai Ciseureuh terus melimpah, sekali gus meningkatkan jumlah air yang memasuki lombong berkenaan.

Encik Hendra berkata pihak polis segera bekerjasama dengan pemerintah daerah Bogor bagi menggerakkan beberapa agensi untuk mempercepat usaha mencari dan menyelamat.

Agensi yang terlibat termasuk Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), jabatan kesihatan serta pasukan bomba dan penyelamat.

Pasukan teknikal turut dikerahkan bagi membantu menangani masalah kemasukan air dan kesukaran memasuki laluan bawah tanah.

“Sejak menerima laporan, kami segera mengambil tindakan untuk menyelamatka.n pekerja lombong yang terperangkap,” kata Encik Hendra.

Antara cabaran utama yang dihadapi pasukan penyelamat ialah saiz lubang lombong yang terlalu kecil, sehingga menyukarkan peralatan menyelamat dibawa masuk ke dalam terowong.

Keadaan itu turut menyukarkan usaha mengesan kedudukan sebenar mangsa yang dipercayai masih berada di bawah tanah.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat rekahan pada kedalaman sekitar 30 meter yang menyebabkan air terus memasuki lombong, sekali gus mencetuskan kejadian tanah runtuh.

Keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan usaha mengeluarkan air, malah menimbulkan risiko terhadap keselamatan anggota pasukan penyelamat yang cuba memasuki kawasan berkenaan.

Jumlah 26 pelombong yang dilaporkan terperangkap itu masih berdasarkan keterangan saksi, sementara pihak berkuasa meneruskan usaha mengesan kesemua mangsa.

Sehingga 25 November, pasukan penyelamat masih belum menemui sebarang tanda keberadaan mereka.

Encik Hendra berkata usaha menyelamat diteruskan meskipun keadaan di dalam lombong masih berbahaya dan cuaca tidak mengizinkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat rekahan pada kedalaman sekitar 30 meter yang menyebabkan air terus masuk dan mencetuskan tanah runtuh, manakala tanda-tanda keberadaan mangsa masih belum dikesan,” katanya. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti