Topik diikuti
Pergi ke BHku14 negara desak Myanmar patuhi keputusan ICJ berhubung genosid Rohingya
Britain kenakan sekatan lima pegawai kanan tentera Myanmar, masyarakat antarabangsa tuntut keadilan bagi mangsa dan jaminan kepulangan pelarian Rohingya
14 negara desak Myanmar patuhi keputusan ICJ berhubung genosid Rohingya
LONDON: Sebanyak 14 negara menggesa Myanmar mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa susulan keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati negara itu bertanggungjawab melakukan genosid terhadap masyarakat Islam Rohingya.
Dalam kenyataan bersama pada 23 November, menteri luar 14 negara itu menegaskan bahawa keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut mengikat Myanmar dan wajib dipatuhi.
Negara berkenaan ialah Australia, Belgium, Canada, Cyprus, Republik Czech, Estonia, Iceland, Latvia, Luxembourg, New Zealand, Portugal, Sepanyol, Gambia dan Britain.
“Kami menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu mengikat Myanmar dan menyeru negara tersebut supaya mematuhi sepenuhnya tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Mereka menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah penting dalam memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan serta memberikan keadilan kepada mangsa dan masyarakat Rohingya yang terselamat.
Masyarakat Rohingya telah bertahun-tahun mengalami keganasan, penganiayaan dan pengusiran dari tanah air mereka.
“Keputusan mahkamah itu menghantar mesej jelas bahawa perbuatan sedemikian tidak boleh dilakukan tanpa hukuman,” tambah kenyataan tersebut.
Menteri luar berkenaan turut menekankan pentingnya mewujudkan keadaan yang membolehkan pelarian Rohingya pulang ke Myanmar secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan.
Secara berasingan, Britain mengumumkan bahawa ia secara rasmi mengiktiraf genosid terhadap masyarakat Rohingya dan mengenakan sekatan terhadap lima pegawai kanan tentera Myanmar.
Sekatan itu termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan.
London juga merancang memperkenalkan undang-undang bagi menyekat eksport dan bekalan bahan api penerbangan ke Myanmar.
Setiausaha Luar Britain, Encik Ed Miliband, berkata keganasan dan penganiayaan dahsyat terhadap masyarakat Rohingya tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.
Britain turut menyediakan dana tambahan £5 juta ($8.4juta) bagi membiayai bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan penting kepada sekitar 350,000 penduduk yang memerlukan bantuan di negeri Rakhine, termasuk masyarakat Rohingya.
Sebanyak £3 juta lagi diperuntukkan bagi memperkukuh usaha menegakkan keadilan untuk mangsa pencabulan hak asasi manusia di seluruh Myanmar.
Sebelum ini, Britain turut mengumumkan pengusiran atase pertahanan Myanmar susulan keputusan ICJ.
Pada 19 November, ICJ memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya semasa operasi ketenteraan di utara negeri Rakhine pada 2017.
Keputusan itu mencatat sejarah sebagai kali pertama dalam tempoh 80 tahun penubuhan ICJ bahawa mahkamah tersebut memutuskan sesebuah negara telah melakukan genosid.
Presiden ICJ, Hakim Yuji Iwasawa, berkata panel yang dianggotai 15 hakim mencapai keputusan itu dengan sembilan undi menyokong dan enam menentang.
Kes tersebut dikemukakan oleh Gambia, sebuah negara di Afrika Barat, pada 2019.
“Berdasarkan keseluruhan bukti, mahkamah berpandangan bahawa satu-satunya kesimpulan munasabah yang dapat menjelaskan tindakan Myanmar ialah wujudnya niat untuk menghapuskan sebahagian besar penduduk Rohingya di utara negeri Rakhine,” kata Hakim Iwasawa.
Mahkamah mendapati masyarakat Rohingya merupakan kumpulan etnik tersendiri yang mempunyai bahasa, budaya dan identiti mereka sendiri, sekali gus layak mendapat perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa berkaitan genosid.
Menurut Hakim Iwasawa, pasukan keselamatan Myanmar membunuh ribuan orang awam Rohingya, melakukan keganasan seksual serta kekejaman terhadap kanak-kanak.
Serangan turut dilakukan terhadap penduduk Rohingya yang cuba melarikan diri.
Mahkamah juga mendapati pihak berkuasa Myanmar tidak mengambil langkah bermakna bagi menghalang kekejaman yang dilakukan oleh penduduk awam bukan Rohingya, malah memburukkan lagi ketegangan etnik dan agama.
Myanmar turut dikritik kerana gagal menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan kekejaman tersebut serta enggan memberikan akses kepada bukti dan saksi.
ICJ mengarahkan Myanmar supaya memberikan pampasan kepada mangsa, mengambil langkah mencegah pelanggaran selanjutnya dan memudahkan kepulangan pelarian Rohingya secara selamat.
Myanmar juga dikehendaki menyiasat dan, jika perlu, mendakwa individu serta anggota pasukan keselamatan yang bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut.
Bagaimanapun, pemerintah Myanmar menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai tidak adil dan amat mengecewakan.
Sebaliknya, Pemerintah Perpaduan Nasional (NUG), pemerintah bayangan Myanmar yang turut dianggotai bekas anggota parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, menyatakan penghormatannya terhadap kewibawaan ICJ.
NUG menegaskan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia serta tanggungjawab negara untuk mencegah dan menghukum perbuatan genosid.
Myanmar ketika operasi ketenteraan pada 2017 berada di bawah pentadbiran awam pimpinan Cik Suu Kyi, meskipun tentera masih mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar.
Sementara itu, aktivis Rohingya menyambut baik keputusan ICJ, namun menegaskan bahawa pengiktirafan antarabangsa perlu disusuli tindakan nyata.
Aktivis Rohingya kelahiran Rakhine, Cik Yasmin Ullah, yang turut menganggotai delegasi Gambia dalam kes tersebut, berkata keputusan itu lebih penting bagi masyarakat antarabangsa berbanding masyarakat Rohingya sendiri.
“Masyarakat Rohingya tidak pernah memerlukan mahkamah untuk memberitahu kami apa yang telah berlaku kepada kami. Kami memerlukan dunia mendengarnya, dan hari ini dunia telah mendengarnya,” katanya.
Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Rohingya Arakan, Encik Nay San Lwin, pula berkata perjuangan masyarakat Rohingya untuk mendapatkan keadilan masih belum berakhir.
“Bagi masyarakat Rohingya, keadilan bermakna pemulihan hak kewarganegaraan kami, pengiktirafan identiti kami serta kepulangan kami ke tanah air secara selamat dan bermaruah,” katanya. – Agensi berita