BANDAR GAZA: Tembakan dan serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 140 orang di seluruh Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata pegawai kesihatan tempatan.
Beberapa penduduk Palestin di Jaluran Gaza berkata serangan itu berlaku ketika nasib mereka telah dilupakan kerana perhatian telah beralih kepada perang antara Israel dengan Iran.
Sekurang-kurangnya 40 daripada mereka yang terbunuh adalah akibat tembakan dan serangan udara Israel pada 18 Jun, kata Kementerian Kesihatan Gaza.
Kejadian itu adalah yang terkini dalam pembunuhan yang berlaku hampir setiap hari melibatkan rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh tiga minggu sejak Israel membatalkan sebahagian sekatan ke atas wilayah itu.
Pakar perubatan berkata serangan udara berasingan ke atas rumah di kem pelarian Maghazi, kejiranan Zeitoun dan Bandar Gaza membunuh sekurang-kurangnya 21 orang, manakala lima lagi terbunuh dalam serangan udara ke atas perkhemahan di Khan Younis di selatan Gaza.
Seramai 14 orang lagi terbunuh dalam serangan Israel ke atas orang ramai yang menunggu trak bantuan yang dibawa masuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sepanjang Jalan Salahuddin di tengah Gaza, kata pegawai perubatan.
Diminta mengulas mengenai kejadian di Jalan Salahuddin itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata walaupun telah berulang kali diberi amaran bahawa kawasan itu adalah zon tempur aktif, ia mendakwa para penduduk tetap mendekati tentera yang beroperasi di kawasan Nuseirat di tengah Gaza dengan cara yang mengancam pasukan.
Tentera melepaskan tembakan amaran, katanya, sambil menambah bahawa ia tidak menyedari berlakunya kecederaan.
Mengenai serangan lain, IDF berkata ia “beroperasi untuk membongkar keupayaan tentera Hamas” sambil mengambil “langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan bahaya terhadap orang awam”.
Kementerian Kesihatan Gaza pada 27 Jun berkata sehingga kini, 397 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 3,000 cedera ketika mereka cuba mendapatkan bantuan makanan sejak penghantaran bantuan dimulakan semula pada akhir Mei.
Para penduduk Gaza melahirkan kebimbangan peningkatan terkini dalam perang antara Israel dengan Hamas yang bermula pada Oktober 2023, akan diabaikan kerana perang Israel-Iran.
“Orang ramai dibunuh di Gaza, siang dan malam, tetapi perhatian telah beralih kepada perang Iran-Israel.
“Terdapat sedikit berita tentang Gaza hari ini,” kata Encik Adel, seorang penduduk Bandar Gaza.
“Sesiapa yang tidak mati akibat dibom Israel, mati kerana kelaparan. Orang ramai mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari untuk mendapatkan makanan,” tambah beliau. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg