GAZA: Selama berjam-jam Encik Saleem Abdul Kareem berjalan semata-mata untuk mendapatkan bantuan makanan pada pagi 17 Jun di sebuah bulatan jalan di bandar Khan Younis, selatan Jaluran Gaza.
Namun sebaik sahaja tiba di sana, beliau melihat kemusnahan dan mayat bergelimpangan.
“Saya nampak terlalu ramai yang mati dan tercedera... fikiran saya hanya mahu lari,” kata Encik Saleem, 32 tahun, kepada The New York Times melalui telefon.
“Ini percubaan kedua saya mendapatkan bantuan. Kedua-duanya gagal, dan selepas apa yang saya saksikan, saya tidak akan mencuba lagi.”
Lebih 80 penduduk Palestin terbunuh pada 17 Jun ketika menunggu pengagihan makanan di bulatan Tahlia, Khan Younis.
Kementerian Kesihatan Gaza menyalahkan tembakan Israel di atas kematian tersebut.
Hari sebelumnya, 16 Jun pula, sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan maut di lokasi agihan berdekatan.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) mengakui “menyedari laporan” bahawa beberapa orang cedera akibat tembakan IDF selepas orang ramai menghampiri sebuah trak bantuan yang terhenti berhampiran operasi ketenteraan.
Dalam kenyataan ringkas, IDF menyatakan ia “kesal atas sebarang kemudaratan ke atas individu tidak bersenjata”.
Rakaman video yang disahkan memaparkan puluhan mayat bergelimpangan di atas jalan, ramai luka di kepala, manakala jeritan dan tangisan memecah suasana.
Sejak Mac, beberapa pusat agihan makanan di Gaza diurus oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah syarikat beribu pejabat di Amerika Syarikat yang disokong Israel dan menggantikan sebahagian peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Israel berhujah pendekatan baru itu menyekat bantuan daripada “jatuh ke tangan Hamas”.
Bagaimanapun, pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menyifatkan jumlah bekalan yang memasuki Gaza “terlalu sedikit” dan menuduh sistem baru itu mendedahkan penduduk awam kepada risiko tembakan kerana mereka perlu melepasi askar Israel di perimeter pusat agihan.
“Bahaya ke pusat itu terlalu tinggi. Saya tak sanggup pertaruhkan nyawa demi sekotak makanan,” kata Encik Awni Abu Hassira, 38 tahun, dari Bandar Gaza.
GHF menafikan pembabitannya dalam kejadian pada 16 dan 17 Jun itu.
“Organisasi lain berdepan kesukaran menyalurkan bantuan dengan selamat dan terdedah kepada rompakan,” kata GHF dalam kenyataan.
Di Hospital Nasser di Khan Younis, petugas kesihatan bergelut menangani ratusan mangsa.
Seorang paramedik, Encik Naseem Hassan, berkata: “Orang cedera perlu merangkak atau didukung lebih satu kilometer untuk sampai ke sini. Ambulans tak dapat dekati... hadapi risiko tembakan berterusan.”
Selain kes tembakan, kebanyakan pesakit tiba dalam keadaan sakit, dehidrasi dan kekurangan zat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah beberapa kali memberi amaran bahawa lebih separuh penduduk Gaza berisiko kebuluran, dengan ribuan kanak-kanak mengalami pemakanan tidak seimbang yang serius.
“Fakta-fakta ini bersuara sendiri,” tegas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Turk, di Geneva pada 16 Jun.
Beliau menyifatkan serangan Israel sebagai sumber “penderitaan yang mengerikan dan tidak dapat diterima”.
Encik Turk menggesa “semua pihak yang mempunyai pengaruh” meningkatkan tekanan ke atas Israel dan Hamas agar menghentikan keganasan.
Beliau juga menuntut laluan bantuan diperluas tanpa syarat, sambil menekankan bahawa perlindungan orang awam adalah “kewajipan undang-undang antarabangsa, bukan pilihan”.
Walaupun Israel menegaskan dua askarnya turut terkorban dalam operasi di selatan Gaza, Kementerian Kesihatan Gaza menuduh tentera Israel “menggunakan peluru hidup secara berlebihan” terhadap orang awam.
Bagi penduduk seperti Encik Kareem, dilema harian terus mencengkam.
“Kami terpaksa memilih antara kelaparan atau maut,” ujarnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg