Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan kemanusiaan dijadikan sebagai ‘senjata’ di Gaza

Dijadikan alat dalam strategi ketenteraan Israel, berfungsi sebagai satu mekanisme untuk kawal, dominasi dan perubahan fabrik sosial
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
bantuan makanan, gaza
Bekalan bantuan kemanusiaan yang menunggu untuk dihantar ke Gaza terkumpul di persimpangan Kerem Shalom antara selatan Israel dengan Jaluran Gaza pada 29 Mei 2025, di tengah-tengah peperangan berterusan antara Israel dengan Hamas. - Foto AFP

Pemberian bantuan kemanusiaan di Gaza sering digambarkan sebagai satu usaha campur tangan yang bersifat berkecuali dan menyelamatkan nyawa – satu kewajipan berlandaskan etika di tengah-tengah kemusnahan.

Namun, pada hakikatnya, ia kini menjadi satu alat utama dalam strategi ketenteraan Israel, berfungsi bukan sahaja sebagai satu operasi bantuan bencana, malah sebagai satu mekanisme untuk mengawal, mendominasi dan membuat pengubahsuaian sosial.

Jauh daripada menjadi talian hayat yang tidak berpihak, bantuan yang diberikan di Gaza beroperasi dalam satu rangka paksaan, pemantauan dan manipulasi politik, mendedahkan sisi gelap dalam kempen peperangan Israel yang disifatkan oleh mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, baru-baru ini sebagai “jenayah perang”.

Penggunaan bantuan kemanusiaan oleh Israel sebagai satu alat strategik bukanlah sesuatu yang baru. Dari 2016 hingga 2018, Israel menggunakan bantuan sedemikian di Syria untuk membina pakatan dan meluaskan pengaruhnya secara halus.

Bagaimanapun, di Gaza, terutamanya sejak 7 Oktober 2023, pendekatan ini telah berubah secara drastik.

Tentera Israel telah menjadikan pengagihan bantuan kemanusiaan sebagai satu operasi keselamatan yang direka untuk memutuskan hubungan antara orang awam dengan Hamas, menguatkuasakan pematuhan tingkah laku, dan akhirnya membentuk semula fabrik sosial di Gaza.

Makanan dan ubat-ubatan tidak diedarkan secara bebas, sebaliknya dikawal ketat, bergantung kepada hasil imbasan biometrik (yang menggunakan teknologi pengecaman muka) dan pemeriksaan keselamatan.

Ini mengubah bantuan kemanusiaan daripada satu hak asasi kepada satu keistimewaan bersyarat – yang boleh diberi atau disekat untuk memanipulasi pergerakan, kesetiaan dan kelangsungan hidup penduduk awam. 

Matlamat semua tindakan kemanusiaan adalah untuk membantu mereka yang memerlukan dalam konflik bersenjata, bencana alam dan kecemasan lain.

Prinsip asasnya termasuk nilai perikemanusiaan, sikap tidak berat sebelah, sikap berkecuali, kebebasan, perkhidmatan sukarela, perpaduan, dan nilai universal.

Apa yang disebut sebagai “koridor bantuan kemanusiaan” mempunyai dua tujuan: walaupun digambarkan sebagai laluan selamat untuk orang awam, ia sebenarnya membolehkan pemindahan secara paksa, mendorong penduduk Palestin berpindah lebih jauh ke bahagian selatan atau malah keluar dari Gaza.

Selepas Israel melanggar gencatan senjata pada Mac 2025, ia menggantikan sistem pemberian bantuan yang sebelum ini diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan satu sistem ketenteraan yang dikendalikan oleh firma keselamatan swasta dan perantara yang mementingkan keuntungan.

Hasilnya adalah satu alat bantuan kemanusiaan yang tidak lagi didorong oleh prinsip berkecuali, sebaliknya oleh logik penjajahan dan kawalan.

Bentuk bantuan dan pekerja bantuan baru

Salah satu perkembangan paling membimbangkan dalam perang ke atas Gaza ialah kemunculan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah entiti yang disokong Amerika Syarikat, dan dilaporkan dimiliki bekas anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF), ahli perniagaan Israel, serta ejen keselamatan Amerika yang berdaftar di Switzerland dan Delaware, Amerika.

Walaupun baru ditubuhkan, GHF kini bertanggungjawab dalam pengagihan bantuan kemanusiaan melalui kontraktor bersenjata yang berasal dari Israel dan Amerika.

GHF melambangkan penggabungan antara bantuan kemanusiaan dengan strategi ketenteraan. Ia turut mendapat sokongan tidak rasmi daripada anggota pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang mempunyai rangkaian hubungan yang kukuh.

Di bawah sistem ini, setiap rakyat Palestin hanya menerima satu hidangan makanan berharga AS$1.30 ($1.70) sekali atau dua kali sebulan, dan itu pun selepas mereka dikehendaki melalui pengawasan biometrik yang intrusif.

Beberapa pusat pengagihan GHF, yang tertumpu di selatan Gaza, tidak dikendalikan oleh pekerja bantuan yang berkecuali, sebaliknya oleh kakitangan keselamatan, askar bersara, dan bekas pegawai risikan Israel dan Amerika.

Tidak hairanlah, PBB telah mengecam model tersebut sebagai “satu helah bagi pemindahan penduduk Palestin secara paksa”, dengan Penyelaras Bantuan Kemanusiaan PBB, Encik Tom Fletcher, menuduh Israel menggunakan kebuluran rakyat Palestin sebagai senjata untuk meraih kelebihan politik.

Pengarah GHF, Encik Jake Wood, secara terbuka mengakui bahawa rangka kerja sedia ada (bagi pengagihan bantuan kemanusiaan) adalah satu-satunya bentuk bantuan yang “boleh diterima Israel” – satu pengakuan jelas bahawa matlamatnya bukan untuk menyelamatkan nyawa, tetapi memaksa rakyat Palestin menyerah (kepada kawalan Israel).

Peletakan jawatan Encik Wood baru-baru ini berlaku di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat daripada PBB dan badan bantuan kemanusiaan antarabangsa, yang menyatakan bahawa GHF telah gagal menegakkan prinsip kemanusiaan yang paling asas.

Bantuan sebagai senjata

Bagi memahami sepenuhnya strategi Israel, kita boleh merujuk kepada Teori Permainan, yang mengkaji bagaimana pelbagai pihak dalam sesuatu konflik menyesuaikan tingkah laku mereka berdasarkan insentif.

Di Gaza, bantuan kemanusiaan bukanlah satu sumber pasif, tetapi satu alat yang digunakan secara aktif – disekat untuk menghukum, diberikan untuk memaksa, dan dimanipulasi untuk memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan penduduk awam.

Dengan mengawal siapa yang diberi makanan dan siapa yang dibiarkan kelaparan, Israel cuba menghancurkan rangkaian penentangan dan mewujudkan kebergantungan.

Daripada perspektif sosiologi, peperangan moden kini bukan lagi hanya tentang kekerasan fizikal; ia juga melibatkan penguasaan secara halus – menggunakan bantuan, penjagaan kesihatan dan prasarana untuk membentuk semula dinamik kuasa.

Apabila tentera penjajah mengagihkan makanan, ia memberi gambaran seolah-olah ia bukan kuasa penindas, tetapi pemberi bantuan kemanusiaan, di samping mengurangkan peranan orang awam daripada ejen politik kepada penerima bantuan yang terus bergantung kepada bantuan tersebut.

Ini bukanlah bantuan kemanusiaan, sebaliknya ia adalah satu strategi penekanan (terhadap penduduk Gaza) melalui catuan makanan dan minuman.

Kesimpulan: Krisis moral dalam bantuan yang dikawal tentera

Bantuan kemanusiaan di Gaza yang kononnya adalah satu usaha beretika kini kehilangan nilai tersebut.

Ia bukan lagi bertujuan meringankan penderitaan penduduknya, sebaliknya mengurus populasi, memecahbelahkan masyarakat kepada yang “patuh” dan yang “melakukan perbuatan jenayah”, serta menyusun semula masyarakat atas helah usaha amal.

Sama seperti hutang kewangan yang dijadikan senjata untuk mendisiplin negara, bantuan kemanusiaan di Gaza digunakan untuk mendisiplin seluruh penduduknya – memberi ganjaran kepada kepatuhan dan menghukum penentangan.

Ini menuntut penilaian semula yang asas terhadap prinsip bantuan kemanusiaan di zon konflik.

Apabila bantuan dijadikan alat kuasa, masyarakat antarabangsa mesti menghadapi satu hakikat yang tidak menyenangkan: sikap berkecuali hanyalah satu mitos dalam menghadapi penindasan sistemik.

Bantuan kemanusiaan di Gaza yang dikawal tentera bukanlah satu kejadian terpencil – ia adalah rangka tindakan bagaimana pihak berkuasa menyamarkan kawalan (ketenteraan) sebagai sikap belas kasihan. 

Jika tidak ditentang, ia akan mentakrifkan semula erti bantuan kemanusiaan sebagai satu lagi medan peperangan.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada bantuan akan sampai ke Gaza, tetapi siapa yang mengawal bantuan tersebut, dan untuk tujuan apa?

Penulis ialah penyelidik undang-undang Palestin dan peguam hak asasi manusia yang berpangkalan di Australia. Beliau pakar dalam hal ehwal Timur Tengah, penjajahan dan undang-undang antarabangsa.

Beliau adalah siswazah daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg