BANGKOK: Taufan Yagi menyebabkan bencana besar di Asia Tenggara, dengan Thailand dan Vietnam antara negara paling teruk terjejas, termasuk jumlah kematian tinggi serta kerosakan harta benda meluas.
Di Vietnam, angka kematian akibat taufan Yagi meningkat kepada 141 orang, lapor satu kenyataan pemerintah pada 11 September.
Air banjir menyebabkan Sungai Merah di Hanoi meningkat dengan cepat, menimbulkan ancaman menenggelamkan kawasan pusat bandar.
Hujan lebat yang dibawa oleh taufan itu mencetuskan tanah runtuh dan banjir di utara Vietnam, dengan 59 orang hilang dan lebih 750 dilaporkan mengalami kecederaan dan banyak kerosakan harta benda.
Laporan media pada lewat 10 September menyebutkan bahawa paras air Sungai Merah meningkat setinggi 10 sentimeter setiap jam.
Beberapa sekolah di Hanoi mengarahkan pelajar supaya kekal di rumah sepanjang minggu kerana kebimbangan banjir, manakala ribuan penduduk di kawasan rendah telah dipindahkan.
Di Thailand, banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh taufanYagi meragut nyawa empat orang di utara negara itu dan menenggelamkan ribuan rumah.
Kerajaan Thailand telah mengarahkan tentera membantu keluarga terjejas.
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, mengumumkan bantuan kepada sekitar 9,000 keluarga yang terjejas di wilayah utara Chiang Mai dan Chiang Rai.
Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Thailand mengesahkan kematian pertama yang berkaitan dengan Yagi, iaitu dua orang terbunuh dalam tanah runtuh di wilayah Chiang Mai, dan dua lagi di Chiang Rai, yang bersempadan dengan Myanmar.
Kementerian Kesihatan Thailand mengerahkan kakitangan perubatan, sukarelawan dan pekerja penyelamat memindahkan warga emas ke tempat lebih selamat.
Jabatan Meteorologi Thailand turut memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan hingga 17 September, membawa risiko banjir kilat baru.
“Antara 13 dengan 17 September, sila berhati-hati dengan kemungkinan bahaya yang disebabkan hujan lebat hingga sangat lebat,” ujar satu kenyataan jabatan tersebut.
Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, perubahan iklim yang disebabkan manusia menyebabkan pola cuaca yang lebih intensif, menjadikan banjir yang merosakkan lebih berkemungkinan berlaku.
Menurut pusat operasi kecemasan negara itu, sejak awal musim, seramai 29 orang terbunuh akibat bencana yang berkaitan dengan hujan lebat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg