Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Apa akan berlaku jika suhu dunia naik 1.5° atau 2° Celsius?

Perbincangan mengenai perubahan iklim dan pemanasan global kini semakin menarik perhatian ramai ekoran beberapa bencana alam yang melanda beberapa negara baru-baru ini. Di Indonesia sahaja, kejadian gempa dan tsunami telah mengorbankan ribuan jiwa dan mengakibatkan kerosakan teruk. Negara-negara seperti Jepun, Filipina dan Amerika Syarikat juga tidak terlepas apabila dipukul ribut taufan. BERITA HARIAN mengupas laporan dan dapatan Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengadakan pertemuan di Korea Selatan pada minggu lalu.
Oct 15, 2018 | 05:30 AM



ANDA terasa panas? Perlu alat pendingin udara untuk tidur?



Cuba bayangkan 30 atau 40 tahun lalu, sebuah kipas angin sudah cukup untuk menjadikan kita selesa. Malah ada di antara kita yang boleh hidup tanpa kipas pun.



Sebenarnya kita mungkin silap jika kita katakan dalam soal ini orang sekarang cerewet atau manja. Memang keadaan kini semakin panas.



Satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun mendedahkan bahawa suhu Bumi telah meningkat sebanyak 1 darjah Celsius (1.8 darjah ikut ukuran Fahrenheit) sejak abad ke-19.



Kini, laporan terbaru Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC), yang mengadakan pertemuan di Incheon, Korea Selatan, pada minggu lalu, memberi amaran akan kesan yang boleh berlaku jika pemanasan global terus terjadi berlaku dengan suhu meningkat antara 1.5 dengan 2 darjah Celsius lagi.



Bolehkah anda bayangkan kesan kenaikan suhu antara 1.5 dengan 2 darjah Celsius ini?



Setiap kali suhu Bumi meningkat separuh atau 0.5 darjah Celsius, kesannya tidak akan dirasai sama rata di mana-mana. Beberapa bahagian dunia, seperti kawasan Artik misalnya, mungkin menjadi lebih panas dua hingga tiga kali ganda.



Separuh darjah, bagi kita mungkin tidak seberapa, tetapi seperti yang didedahkan dalam laporan IPCC tersebut, kenaikan suhu sebanyak itu boleh menyebabkan puluhan juta penduduk di seluruh dunia terdedah kepada gelombang haba yang boleh mengancam nyawa, masalah kekurangan air dan kejadian banjir besar di kawasan berhampiran pantai.



Kenaikan suhu separuh darjah Celsius juga mungkin boleh menyebabkan dunia kehilangan segala kecantikan dan warna-warni kehidupan laut seperti terumbu karang menjejas bongkah air batu di kawasan Artik.



Rantau Mediterranean dan Timur Tengah juga mungkin mengalami kekurangan sumber air sebanyak 9 peratus jika dunia semakin panas sebanyak 1.5 darjah dan 17 peratus jika kenaikannya mencapai dua darjah, dedah satu kajian penting yang terkandung dalam laporan IPCC itu.



"Jika anda memerhatikan keadaan di rantau ini (Timur Tengah), yang kini sudah pun mengalami masalah kekurangan air dan ketidakstabilan politik, kenaikan suhu sebanyak separuh darjah boleh menyebabkan perbezaan besar," kata Carl-Friedrich Schleussner, ketua sains iklim Climate Analytics yang juga penulis utama kajian tersebut.



Menurut laporan tersebut, kemungkinan terjadinya fenomena cuaca yang melampau seperti gelombang haba yang teruk atau hujan lebat juga tidak naik seragam dengan tambahan suhu separuh darjah.



Contohnya, bilangan hari panas di seluruh dunia cenderung meningkat apabila suhu purata global meningkat, kata laporan itu.



Apa akan berlaku di kawasan Artik?



Tambahan suhu sebanyak separuh darjah mungkin menyebabkan haiwan seperti beruang khutub, ikan paus, singa dan anjing laut serta burung laut kehilangan lebih banyak habitat atau tempat tinggal.



Cuaca panas melampau



Penduduk duduk perlu membiasakan diri dengan keadaan ini jika suhu naik 2 darjah Celsius berbanding kenaikan 1.5 darjah Celsius, dengan kawasan tropik mungkin mengalami pertambahan hari "panas melampau".



Masalah kekurangan air



Sekarang ini sahaja sebahagian negara di dunia sudah pun mengalami masalah ini.



Menurut dapatan kajian IPCC itu, seramai 350 juta penduduk dunia akan terdedah kepada masalah kemarau yang buruk jika suhu dunia naik sebanyak 1.5 darjah Celsius.



Pada kenaikan 2 darjah, jumlah ini akan meningkat kepada 411 juta orang di seluruh dunia, dengan kawasan Mediterranean dijangka mengalami "keadaan kering yang bertambah".



Pokok dan haiwan



Pada kenaikan suhu 1.5 darjah Celsius, haiwan jenis ini akan kehilangan separuh kawasan tempat tinggal mereka:



6% serangga



8% daripada tumbuhan



4% daripada vertebrata



Pada kenaikan 2 darjah:



18% serangga



16% daripada tumbuhan



8% daripada vertebrata



Kenaikan paras air laut



Jumlah penduduk yang akan terdedah kepada kejadian banjir akibat kenaikan paras air laut pada 2100:



1.5 darjah Celsius



31 juta hingga 69 juta penduduk di seluruh dunia



2 darjah Celsius



32 juta hingga 80 juta penduduk dunia



Kenaikan suhu sebanyak separuh darjah juga boleh menyebabkan kesan besar kepada negara kepulauan kecil yang terletak di tengah-tengah lautan memandangkan mereka mudah terjejas dek kenaikan paras air laut dan kesan-kesan perubahan iklim lain.



Tanaman



Hasil tanaman dan pertanian global dijangka merudum jika keadaan sama berlaku, terutama di kawasan berhampiran Gurun Sahara di benua Afrika, Asia Tenggara dan Amerika Tengah serta Amerika Selatan.



Laporan jadi amaran



Laporan terbaru IPCC ini, yang dihasilkan berdasarkan kajian dan dapatan ratusan saintis dari seluruh dunia, bukan setakat menyedarkan, malah memberi amaran bahawa bahaya berlakunya keadaan-keadaan sedemikian bukan lagi gambaran atau andaian yang tidak mungkin berlaku.



Menurut laporan tersebut, pada kadar pemanasan global yang berlaku sekarang, Bumi mungkin melepasi kenaikan suhu sebanyak 1.5 darjah antara 2030 dengan 2052 - suatu keadaan yang akan turut dirasai sebilangan besar orang dewasa dan kanak-kanak yang ada sekarang. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >