15 maut, 8 diselamatkan dalam runtuhan bangunan di Lebanon
15 maut, 8 diselamatkan dalam runtuhan bangunan di Lebanon
BEIRUT: Jumlah kematian akibat runtuhan bangunan kediaman di bandar Tripoli di Lebanon meningkat kepada 15 orang selepas operasi mencari dan menyelamat berakhir, kata Agensi Berita Kebangsaan Lebanon pada 9 Februari.
Mengesahkan demikian, ketua pengarah pertahanan awam, Encik Imad Khreiss, berkata pasukannya telah menyelamatkan lapan orang daripada puing-puing bangunan yang runtuh di kawasan kejiranan Bab al-Tabbaneh di bandar utara itu.
Para pegawai berkata pada 8 Februari bahawa dua bangunan bersebelahan turut runtuh.
Ketua majlis perbandaran Tripoli, Encik Abdel Hamid Karimeh, berkata beliau tidak dapat mengesahkan berapa ramai orang yang masih hilang.
Terdahulu, ketua perkhidmatan menyelamat pertahanan awam Lebanon berkata kedua-dua bangunan itu menempatkan 22 penduduk.
Sejumlah bangunan kediaman yang usang telah runtuh di Tripoli, bandar kedua terbesar di Lebanon, dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kejadian tersebut menonjolkan infrastruktur yang semakin merosot dan pengabaian selama bertahun-tahun, lapor media pemerintah, memetik pegawai perbandaran.
Kabinet Lebanon berkata susulan mesyuarat yang diadakan, majlis perbandaran bandar itu akan membuat keputusan untuk mengosongkan 114 bangunan yang berisiko runtuh dalam tempoh tidak lebih satu bulan.
Bantuan perumahan sementara akan disediakan untuk keluarga yang dipindahkan selama satu tahun, kata Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, dalam hantaran menerusi X.
Encik Karimeh berkata isu bangunan yang tidak selamat di Tripoli telah lama berlarutan dan didorong oleh pelbagai faktor, termasuk pelanggaran peraturan pembinaan, gangguan selama bertahun-tahun, pengawasan yang lemah dan kekurangan penyelenggaraan berkala.
Menurutnya, sebahagian lagi dikaitkan dengan undang-undang kawalan sewa yang tidak menggalakkan pemilik daripada melabur dalam kerja-kerja pembaikan bangunan.
Beliau berkata banyak bangunan di bandar itu berusia antara 60 dengan 70 tahun dan telah melebihi jangka hayat strukturnya tanpa menjalani penyelenggaraan penting, meningkatkan risiko runtuh
Masalah itu, tambahnya, melebihi kapasiti perbandaran dan penduduk, menyeru campur tangan langsung pemerintah.
Pihak berkuasa telah mula menyediakan tempat perlindungan sementara kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, manakala Jawatankuasa Bantuan Lebanon menawarkan elaun perumahan sehingga tiga bulan, kata Encik Karimeh.
Beliau menambah bahawa badan amal, Kementerian Hal Ehwal Sosial dan organisasi antarabangsa sedang bekerjasama untuk menyediakan bantuan, dengan menyatakan matlamatnya adalah untuk mendapatkan tahap sokongan minimum yang boleh diterima untuk isi rumah yang terjejas. – Reuters.

