Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekonomi Lebanon terjejas teruk akibat perang

Dec 31, 2024 | 4:44 PM
Seorang petani di kampung Kfeir, selatan Lebanon dilihat sedang menyemai hasil tuaian zaitunnya. Meskipun menghadapi situasi yang penuh ketidakpastian, petani ini tetap meneruskan rutinnya.
Seorang petani di kampung Kfeir, selatan Lebanon dilihat sedang menyemai hasil tuaian zaitunnya. Meskipun menghadapi situasi yang penuh ketidakpastian, petani ini tetap meneruskan rutinnya. - Foto AFP

BEIRUT: Konflik antara Israel dengan Hezbollah mungkin telah dihentikan buat sementara waktu, tetapi kerosakan yang ditinggalkan amat besar.

Satu kenyataan yang menggambarkan kesulitan ramai warga Lebanon pascaperang adalah daripada Encik Hasan Raad, seorang penghasil kandungan media berusia 28 tahun, yang berkata:

“Kami keluar daripada perang ini dengan tiada apa-apa. Kami bermula daripada sifar.”

Encik Hasan, yang sebelum ini menjalani kehidupan yang selesa dengan pekerjaan yang stabil, kini menganggur dan kehilangan tempat tinggal setelah serangan udara Israel merosakkan bangunan apartmen keluarganya di selatan Beirut.

Kehidupan yang pada mulanya penuh harapan, dengan studio pengeluaran yang baru siap dibangunkan dan impian untuk membeli sebuah kenderaan mewah terpakai, Mustang – hancur dalam sekelip mata dek keganasan perang.

Encik Hasan kini berjuang untuk bertahan hidup dengan bantuan simpanannya yang hampir habis digunakan kerana perlu membantu anggota keluarga dan mereka yang terjejas oleh pengusiran paksa akibat perang.

Lebanon, sebuah negara kecil di pesisir Laut Tengah yang telah lama berjuang untuk pulih daripada kesan perang saudara selama 15 tahun yang berakhir pada 1990, kini sekali lagi terperangkap dalam kancah krisis yang lebih teruk.

Ekonomi negara yang sudah pun parah akibat krisis kewangan sejak 2019 – ditambah pula dengan wabak Covid-19 – telah menyebabkan kejatuhan mata wang dan pengurangan banyak pelaburan.

Pada 2020, letupan besar di pelabuhan Beirut menambah kemusnahan yang luar biasa, membunuh lebih 200 orang dan menyebabkan kerosakan bernilai berbilion dolar.

Menurut data Bank Dunia, Lebanon telah kehilangan sekitar 6.6 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada 2024 akibat peperangan itu.

Sektor utama yang selama ini menjadi pendorong ekonomi Lebanon seperti perbankan dan pelancongan kini hampir lumpuh.

Bank-bank Lebanon yang sudah pun mengalami kemuflisan kini menghadapi kerugian berbilion dolar dan mengehadkan pengeluaran serta pemindahan dana.

Begitu juga dengan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat larangan perjalanan dan pembatalan tempahan oleh pelancong.

Lebanon kini berhadapan dengan keadaan yang lebih buruk selepas peperangan Israel-Hezbollah yang tercetus pada September 2023.

Walaupun gencatan senjata telah diumumkan pada akhir November, pakar ekonomi berpendapat sebarang pemulihan ekonomi yang pantas kini semakin mustahil.

Sektor perdagangan Lebanon sahaja telah mengalami kerugian hampir AS$1.7 bilion ($2.3 bilion) akibat gangguan kepada 50,000 syarikat berdaftar di negara itu.

Lebih daripada sejuta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, manakala beribu-ribu lagi kehilangan pekerjaan.

Pengarah Negara Bank Dunia untuk Timur Tengah, Encik Jean-Christophe Carret, berkata sebelum peperangan, seorang daripada tiga rakyat Lebanon sudah hidup dalam kemiskinan.

“Angka ini sudah pun sangat buruk. Dan peperangan ini hanya memperburuk keadaan,” tambah beliau.

Bagi kawasan yang paling terjejas, seperti Dahiya, sebuah kawasan yang padat penduduk di selatan Beirut, yang dikuasai oleh Hezbollah, pembaikan sudah bermula.

Namun banyak keluarga seperti keluarga Encik Hasan masih menanti bantuan kewangan untuk membina semula rumah dan kehidupan mereka.

“Ini masih kekal sebagai kekacauan besar,” kata Encik Hasan sambil merenung runtuhan bangunan yang pernah menjadi tapak rumahnya.

Kesan peperangan itu bukan hanya kepada mereka yang kehilangan rumah, bahkan juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Pengangguran semakin meningkat dan harga barang keperluan menjadi semakin tidak mampu dimiliki.

Walaupun negara itu telah mendapat bantuan dari negara Teluk dan Iran selepas perang Israel-Hezbollah pada 2006, pakar ekonomi meramalkan kali ini, bantuan akan lebih sukar diperolehi.

“Zaman cek kosong dari negara-negara Arab sudah berakhir,” ujar Encik Carret.

“Untuk mendapatkan pembiayaan semula, pembaharuan sebenar adalah penting,” tambah beliau.

Walaupun rakyat Lebanon terkenal dengan daya ketahanan mereka, kali ini mereka menghadapi cabaran yang luar biasa.

Seorang pengurus kedai buku di Beirut, Encik Issa Rumi, berkata beliau sudah mula mempertimbangkan untuk meninggalkan negara itu.

Namun, Encik Hasan yang bertekad untuk terus bertahan, berkata:

“Perang ini tidak akan mematahkan semangat saya atau kami. Kami akan membina semula, mengecat semula dan menjadikannya lebih baik.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg