DHAKA: Kebakaran di sebuah kilang pakaian di Bangladesh dan gudang kimia terletak bersebelahan dengannya pada 14 Oktober mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Angka kematian dijangka meningkat ketika usaha menyelamat giat dijalankan, kata pegawai.
“Kami telah menemui 16 mayat di tingkat dua dan kilang pakaian,” kata Pengarah Perkhidmatan Bomba, Encik Tajul Islam Chowdhury.
Beliau menambah jumlah kematian mungkin meningkat kerana operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Menurut beliau, pihaknya masih belum mengetahui punca kebakaran kerana polis masih menyiasat.
Kebakaran berlaku sekitar tengah hari di tingkat tiga kilang setinggi tujuh tingkat di kawasan Mirpur di ibu negara Dhaka.
Ia kemudian merebak ke gudang kimia yang menyimpan serbuk peluntur, plastik dan hidrogen peroksida, kata Encik Talha Jashim, seorang lagi pegawai bomba.
Sebanyak 12 kenderaan pemadam api berjaya mengawal kebakaran di kilang selepas hampir tiga jam, walaupun kebakaran di gudang itu masih berterusan.
Anggota tentera Bangladesh, polis dan pengawal sempadan menyertai operasi menyelamat di kilang tersebut, kata pegawai.
Saudara-mara yang panik dan bersedih berkumpul untuk mencari insan tersayang dengan memegang gambar mereka.
Encik Chowdhury berkata pemilik kilang masih belum dikenal pasti dan polis sedang mencari mereka.
Ditanya sama ada gudang kimia itu mempunyai lesen untuk beroperasi, beliau berkata:
“Kami belum tahu tentang lesen itu lagi. Bagaimanapun, setakat yang kami dengar, ia didapati menyalahi undang-undang. Kami akan dapat mengesahkan sebaik siasatan selesai dijalankan.”
Dalam kawat takziahnya, pemimpin pemerintah sementara Bangladesh, Encik Muhammad Yunus, melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas tragedi menimpa mangsa yang meninggal dunia.
Beliau telah mengarahkan pihak berkuasa agar menyiasat punca kebakaran dan memastikan mangsa dan keluarga mereka menerima bantuan yang diperlukan.
Piawaian keselamatan kebakaran dan bangunan yang lemah membawa kepada berpuluh-puluh bencana sebegitu di Bangladesh setiap tahun, dan kemalangan lalu telah mencemarkan sektor tekstil yang menggajikan sekitar 4 juta pekerja dan membentuk lebih 10 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri.
Pada 2013, lebih 1,100 orang terbunuh apabila kilang pakaian bangunan bertingkat, Rana Plaza, tiba-tiba runtuh.
Lapan kenderaan pemadam kebakaran berjaya mengawal api di bangunan berkenaan selepas hampir tiga jam, meskipun kebakaran di gudang itu berterusan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg