Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekurang-kurangnya 19 maut dalam nahas pesawat tentera udara Bangladesh di kampus kolej

Jul 21, 2025 | 8:05 PM
Sebuah ambulans melalui kawasan kejadian selepas sebuah pesawat latihan Tentera Udara terhempas ke dalam kampus Kolej Milestone, di Dhaka, Bangladesh, 21 Julai 2025. 
Sebuah ambulans melalui kawasan kejadian selepas sebuah pesawat latihan Tentera Udara terhempas ke dalam kampus Kolej Milestone, di Dhaka, Bangladesh, 21 Julai 2025.  - Foto REUTERS

DHAKA: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh apabila sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh terhempas ke dalam kawasan kampus sekolah dan kolej di ibu kota Dhaka pada Isnin, 21 Julai, menurut seorang pegawai perkhidmatan bomba.

Lebih 50 orang, termasuk kanak-kanak dan dewasa, dimasukkan ke hospital akibat melecur, menurut seorang doktor di Institut Kebangsaan Pembedahan Melecur dan Plastik. Kejadian berlaku di Sekolah dan Kolej Milestone di kawasan utara Dhaka, Uttara, kata pihak berkuasa.

“Pesawat latihan F-7 BGI milik Tentera Udara Bangladesh terhempas di Uttara. Pesawat itu berlepas pada jam 1.06 tengah hari (3.06 petang waktu Singapura),” menurut kenyataan jabatan perhubungan awam tentera. Video kejadian menunjukkan kebakaran besar berhampiran kawasan padang dengan asap tebal menjulang ke udara, disaksikan oleh orang ramai dari jarak jauh.

Anggota bomba menyembur air ke arah serpihan pesawat yang remuk, yang dilihat melanggar sisi sebuah bangunan, merosakkan jeriji besi dan menyebabkan lubang besar pada struktur itu, menurut visual televisyen Reuters.

“Seorang pelajar darjah tiga dibawa ke hospital dalam keadaan sudah meninggal dunia, manakala tiga yang lain, berusia 12, 14 dan 40 tahun, dimasukkan ke hospital,” kata Encik Bidhan Sarker, ketua unit melecur di Kolej Perubatan dan Hospital Dhaka, tempat beberapa mangsa dirawat.

Visual turut menunjukkan orang ramai menjerit dan menangis, sementara yang lain cuba menenangkan mereka.

“Semasa saya menjemput anak-anak saya dan berada di pintu pagar, saya sedar sesuatu datang dari belakang... Saya terdengar satu letupan. Apabila saya menoleh ke belakang, saya hanya nampak api dan asap,” kata Masud Tarik, seorang guru di sekolah tersebut.

Encik Muhammad Yunus, ketua kerajaan sementara Bangladesh, berkata “langkah-langkah yang perlu” akan diambil untuk menyiasat punca kemalangan dan “menyediakan segala bentuk bantuan.”

“Kehilangan yang dialami oleh tentera udara... para pelajar, ibu bapa, guru dan kakitangan serta individu lain dalam kejadian ini adalah sesuatu yang tidak dapat diganti,” katanya.

Insiden ini berlaku sedikit lebih sebulan selepas sebuah pesawat Air India terhempas di atas asrama kolej perubatan di bandar Ahmedabad, India, yang mengorbankan 241 daripada 242 penumpang di dalam pesawat dan 19 orang di darat menjadikannya bencana penerbangan paling buruk di dunia dalam tempoh sedekad. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg