KAHIRAH: Serangan udara semalaman Israel membunuh 16 orang di barat Syria dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, lapor media pemerintah Syria.
Ia adalah serangan yang mengakibatkan paling banyak kematian sejak pekarangan kedutaan Iran di Damsyik diserang pada April.
Tidak ada komen segera daripada Israel, yang lazimnya berdiam diri mengenai laporan serangan di Syria.
Agensi berita negara Syria, Sana, yang memetik sumber tentera, berkata Israel melancarkan serangan itu sekitar 11.20 malam pada 8 September dan menyasarkan “sebilangan kem tentera di wilayah tengah”, tanpa mengulas lanjut mengenai kesan serangan itu.
Pertahanan udara Syria telah menembak jatuh beberapa peluru berpandu, kata sumber itu.
Sana memetik seorang pegawai kesihatan tempatan berkata 36 orang cedera, enam daripada mereka dalam keadaan serius.
Dua sumber perisikan serantau berkata pusat penyelidikan ketenteraan utama bagi pengeluaran senjata kimia yang terletak berhampiran Masyaf, di wilayah Hama berhampiran pantai Mediterranean, diserang beberapa kali.
Mereka berkata pusat itu dipercayai menempatkan pasukan pakar tentera Iran yang terlibat dalam pengeluaran senjata.
Bagaimanapun, sumber kanan tentera serantau yang dekat dengan Damsyik dan Teheran menafikan pusat itu adalah kemudahan senjata kimia, sebaliknya ia merupakan sebuah kemudahan penyelidikan Syria yang terkenal.
Kementerian Luar Syria, yang mengutuk serangan itu sebagai tindakan pencerobohan terang-terangan, berkata selain 16 maut dan 36 cedera, ia mengakibatkan “kerosakan material pada beberapa kawasan kediaman”.
Jurucakap Menteri Luar Iran, Encik Nasser Kanaani, berkata Teheran mengutuk sekeras-kerasnya “serangan jenayah” di Syria itu.
Israel telah bertahun-tahun menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai sasaran Iran atau yang disokong Iran di Syria. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg