JAKARTA: Pemerintah Ternate, iaitu sebuah bandar dan pulau di Maluku Utara, Indonesia, telah mengisytiharkan status respons darurat sepanjang dua minggu mendatang berkaitan banjir kilat di pulau itu.
Banjir kilat melanda Kampung Rua, Kecamatan Pulau Ternate pada pagi 25 Ogos selepas hujan lebat berterusan beberapa hari.
Seramai 14 orang ditemui mati dan lapan masih hilang setakat petang 25 Ogos, selepas pihak berkuasa menghentikan sementara usaha mencari dan menyelamat.
Empat jengkaut kelihatan digunakan untuk membersihkan lumpur, batu dan kayu yang menghalang jalan raya utama di tengah-tengah hujan yang berterusan.
“Kami telah menubuhkan pos bantuan bencana di Kampung Rua dan mengucapkan takziah kepada penduduk terjejas akibat bencana itu,” kata Setiausaha Wilayah Bandar Raya Ternate, Encik Rizal Marsaoly, pada 25 Ogos, lapor Tempo.Co.
Penduduk berteduh di beberapa tempat, antaranya Sekolah Menengah Vokasional Kastela Village Cruise dan Sekolah Rendah Kampung Rua.
Menurut Encik Rizal, pemerintah Ternate akan terus memberi tumpuan kepada usaha memindahkan penduduk di kawasan terjejas.
Beliau berkata pihaknya akan memastikan ketepatan nama mangsa kerana pasukan bantuan bencana pemerintah mencatatkan 11 orang terkorban, iaitu tujuh lelaki dan empat wanita.
Sementara itu, penduduk cedera sedang dirawat di tiga hospital.
Proses pemindahan mangsa banjir kilat di Ternate melibatkan pasukan penyelamat bersama, terdiri daripada polis dan tentera, Agensi Mencari dan Menyelamat Negara (Basarnas), Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), serta institusi berkaitan lain.
Polis mengerahkan 250 pegawai, manakala Angkatan Tentera Indonesia melibatkan 120 anggotanya.
Bagi menampung proses pemindahan banjir kilat itu, pihak berkuasa menyediakan sembilan ambulans, tiga trak bomba, dan empat jengkaut.
“Berdasarkan laporan, sekitar 30 rumah tertimbus di bawah lumpur setinggi satu hingga empat meter,” kata Leftenan Kolonel Indra Andiarta daripada Briged Bergerak Jabatan Polis Wilayah Maluku Utara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg