Pemerintah Singapura akan menyumbang bantuan kewangan awal berjumlah AS$100,000 ($130,277) untuk menyokong usaha Palang Merah Singapura (SRC) mengumpul dana bagi banjir teruk yang melanda bahagian timur Bangladesh.
Menerusi satu kenyataan pada 8 September, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata sumbangan itu akan menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan keperluan segera masyarakat tempatan yang terjejas.
Banjir di Bangladesh pada Ogos telah menyebabkan lebih 18 juta orang terjejas akibat keadaan monsun yang teruk, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lebih 1.2 juta keluarga juga terperangkap apabila banjir kilat melanda kawasan yang luas di timur dan tenggara negara itu.
Menurut Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), daerah yang paling teruk terjejas ialah Chattogram dan Sylhet, di mana air sungai melepasi paras bahaya.
Anggaran awal menunjukkan bahawa sekitar lima juta orang, termasuk dua juta kanak-kanak, terjejas, dengan ramai yang terperangkap tanpa makanan dan bekalan bantuan.
Jalan raya, kawasan tanaman dan kawasan menangkap ikan juga mengalami kerosakan besar, hingga menjejas mata pencarian masyarakat tempatan.
Pada 5 September, sebuah pasukan daripada badan bukan pemerintah Humanity Matters telah berangkat ke Bangladesh untuk menilai keadaan di sana serta menyalurkan bantuan dan keperluan penting.
Badan itu juga telah melancarkan kempen pengumpulan dana di Singapura untuk membantu mangsa yang terjejas.
Antara cara untuk menderma:
Humanity Matters
Palang Merah Singapura


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg