Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

187,000 kanak-kanak Gaza terima vaksin polio meski perang berterusan

Kempen vaksinasi dijalankan di selatan Gaza, dengan penduduk gesa gencatan senjata
Sep 6, 2024 | 12:51 PM
Ibu bapa Palestin datang beramai-ramai dengan anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi polio di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis, selatan Gaza, pada 5 September.
Ibu bapa Palestin datang beramai-ramai dengan anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi polio di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis, selatan Gaza, pada 5 September. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH/GAZA: Rakyat Palestin berbondong-bondong ke pusat perubatan di selatan Jaluran Gaza untuk memastikan anak-anak mereka diberi vaksin polio dalam fasa kedua kempen yang setakat ini memanfaatkan 187,000 kanak-kanak.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), berkata kempen itu, yang berlangsung selepas Hamas dan Israel bersetuju mengenai penangguhan pertempuran terhad, setakat ini berjaya tetapi rumit.

Serangan udara Israel di kawasan lain termasuk sebuah hospital di tengah Gaza, dilaporkan telah mengorbankan beberapa orang.

Pada 5 September, vaksinasi bermula di Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza, kedua-dua kawasan yang dilanda konflik dan telah menjadi tempat perlindungan bagi puluhan ribu orang yang telah melarikan diri dari kawasan lain.

“Kempen vaksinasi polio telah berpindah ke kawasan selatan Gaza.

“Pasukan UNRWA kini berada di Khan Younis dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan vaksin kepada kanak-kanak,” kata UNRWA dalam satu kenyataan.

“Pada masa genting ini, penangguhan pertempuran mesti dipatuhi demi melindungi keluarga dan pekerja kemanusiaan,” katanya.

Kebanyakan kegiatan akan dijalankan di Khan Younis dan akan melibatkan penduduk yang telah dipaksa oleh tentera Israel meninggalkan Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir yang menjadi kawasan operasi tentera Israel sejak Mei.

Pegawai kesihatan menyasarkan untuk mencapai sasaran 640,000 kanak-kanak Gaza untuk vaksinasi polio dalam kempen yang dilancarkan selepas penemuan kes melibatkan seorang bayi berusia setahun yang lumpuh sebahagian tubuhnya.

Ini adalah kes pertama penyakit polio yang dikesan di Gaza – salah satu tempat paling padat penduduk di dunia – dalam tempoh 25 tahun.

Ia muncul semula apabila sistem kesihatan Gaza hampir runtuh dan banyak hospital tidak lagi berfungsi akibat perang yang berlangsung sejak 11 bulan lalu.

Rakaman yang diedarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan ramai penduduk Palestin tiba di kemudahan perubatan di Khan Younis untuk mendapatkan vaksinasi anak mereka.

“Mesej saya kepada dunia ialah sama seperti anda memberikan vaksin kepada kami supaya anak-anak kami selamat.

“Anda mesti mencapai gencatan senjata dan menghentikan konflik ini kerana ia mendatangkan malapetaka yang nyata terhadap kami,” kata Encik Osama Brika, seorang penduduk Gaza, yang menemani anak saudaranya ke kemudahan perubatan untuk mendapatkan vaksinasi tersebut.

Encik Ikram Nasser, yang beratur bersama anaknya pula berkata ancaman polio hanya meningkatkan ketakutan orang ramai.

“Kami hidup diselubungi ketakutan, daripada pengeboman, daripada keganasan, daripada kemusnahan, daripada kecederaan.

“Kini ketakutan kami bertambah pula terhadap penyakit yang merebak seperti penyakit kulit akibat masalah kebersihan dan kesesakan,” katanya.

UNRWA berkata pada 4 September bahawa meskipun vaksinasi mencapai kemajuan baik, gencatan senjata kekal diperlukan bagi mengurangkan penderitaan kemanusiaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg