Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Israel bunuh 35 ketika ‘perang harus ditangguh’ untuk vaksinasi polio

Sep 4, 2024 | 12:57 PM
Sebuah kolej yang menempatkan ramai pelarian Palestin, musnah akibat serangan udara tentera Israel di Gaza pada 3 September.
Sebuah kolej yang menempatkan ramai pelarian Palestin, musnah akibat serangan udara tentera Israel di Gaza pada 3 September. - Foto REUTERS

GAZA: Serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin di seluruh Gaza ketika perang sepatutnya dihentikan bagi membolehkan kempen vaksinasi polio, yang memasuki hari ketiga.

Walaupun ada persefahaman untuk membolehkan kempen vaksinasi polio, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) masih meneruskan peperangan, kata pegawai Palestin.

Antara yang terbunuh ialah empat wanita di bandar selatan Rafah dan lapan orang berhampiran hospital di Bandar Gaza di utara, kata Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin.

Serangan udara Israel turut membunuh sembilan rakyat Palestin di dalam sebuah rumah berhampiran Jalan Omar Al-Mokhtar di tengah-tengah Bandar Gaza, kata pegawai perubatan.

Satu lagi serangan berlaku di sebuah kolej di Sheikh Radwan, pinggir utara bandar itu.

Tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan anggota Hamas yang beroperasi dari pusat arahan di dalam bekas Kolej Nama.

Tentera Israel berkata ia membunuh lapan lelaki bersenjata Palestin, termasuk seorang komander kanan Hamas, Ahmed Fozi Nazer Muhammad Wadia, yang terlibat dalam serangan 7 Oktober di Israel, di pusat arahan berhampiran Hospital Arab Al-Ahli di Bandar Gaza.

Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata mereka sedang memerangi tentera Israel di pinggir bandar Zeitoun di Bandar Gaza, di Rafah dan Khan Younis di selatan.

Namun begitu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata bahawa ia mendahului sasarannya untuk vaksinasi polio di Gaza pada 3 September, hari ketiga kempen besar-besaran dan telah menyuntik kira-kira satu perempat daripada kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Kempen itu, yang disegerakan ekoran penemuan kes polio pertama melibatkan bayi di Gaza pada Ogos, bergantung kepada penangguhan pertempuran lapan jam setiap hari antara Israel dengan Hamas di kawasan tertentu.

Usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata kekal dan membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza dan mengembalikan ramai rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel telah terhenti.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyifatkan penangguhan pertempuran untuk membenarkan vaksinasi sebagai sinar harapan dan kemanusiaan yang jarang berlaku. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg