Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa gegas anak dapatkan vaksin polio sebelum tamat henti perang 3 hari

Sep 2, 2024 | 12:03 PM
Seorang pekerja kesihatan memberi vaksin polio kepada seorang kanak-kanak Palestin di Zawayda di Jaluran Gaza pada 1 September 2024 setelah Israel bersetuju bagi “gencatan kemanusiaan” di beberapa bahagian di Gaza selama tiga hari bermula pada 31 Ogos untuk memudahkan  vaksinasi.
Seorang pekerja kesihatan memberi vaksin polio kepada seorang kanak-kanak Palestin di Zawayda di Jaluran Gaza pada 1 September 2024 setelah Israel bersetuju bagi “gencatan kemanusiaan” di beberapa bahagian di Gaza selama tiga hari bermula pada 31 Ogos untuk memudahkan vaksinasi. - Foto AFP

GAZA: Cik Ghadir Hajji, seorang ibu kepada lima orang anak, bergegas ke klinik pada 1 September dengan harapan anak-anaknya menjadi antara yang pertama mendapatkan vaksin polio.

“Kami mesti vaksin mereka,” kata Cik Ghadir sambil menunggu giliran untuk anak-anaknya mendapatkan vaksin yang telah diumumkan oleh pihak berkuasa kesihatan setelah kes polio pertama dilaporkan pada Ogos. Ia adalah kes polio pertama dikesan di Gaza dalam tempoh 25 tahun.

Walaupun wujud kebimbangan mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin, puluhan ribu penduduk Gaza tetap hadir untuk melindungi diri mereka dari polio. Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas mengesahkan bahawa 72,611 kanak-kanak telah divaksin setakat ini.

Virus polio adalah sangat berjangkit dan lazimnya merebak melalui air sisa dan air yang tercemar – satu masalah yang semakin meningkat di Gaza menyusuli kemusnahan infrastruktur akibat serangan balas ketenteraan Israel. Penyakit ini terutamanya menyerang kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan boleh menyebabkan kecacatan, kelumpuhan serta kematian.

Di klinik Deir el-Balah sahaja, hampir 2,000 kanak-kanak telah divaksin pada 1 September. Kempen vaksinasi itu menyasarkan lebih 640,000 kanak-kanak di serata Gaza. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menghantar sekurang-kurangnya 1.26 juta dos vaksin ke Gaza.

Sebanyak 67 pusat vaksinasi telah dikenal pasti di Gaza tengah, 59 di selatan, dan 33 di utara bagi memastikan pemberian vaksin berjalan lancar. Dos kedua vaksin perlu diberikan empat minggu selepas dos pertama.

Walaupun terdapat persetujuan Israel untuk melakukan “gencatan kemanusiaan” selama tiga hari bermula 31 Ogos bagi memudahkan proses vaksinasi, situasi masih tidak menentu.

“Kami berharap kempen vaksinasi ini dapat berjalan dengan tenang,” kata Dr Yasser Shaaban, pengarah perubatan di Hospital Al-Awda di Gaza tengah.

Namun, kebimbangan tetap wujud jika pengeboman disambung semula selepas jam 2 petang 2 Ogos.

“Satu-satunya cara untuk memastikan kempen ini berjaya adalah dengan adanya gencatan senjata,” kata jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin  (UNRWA), Cik Louise Wateridge. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg