Topic followed successfully
Go to BHku19 individu didakwa dalam kes pemerdagangan bayi dari Indonesia
19 individu didakwa dalam kes pemerdagangan bayi dari Indonesia
Sindiket bawa keluar bayi ke negara lain sasar golongan ibu terdesak; 15 bayi dikatakan turut dihantar ke S’pura
19 individu didakwa dalam kes pemerdagangan bayi dari Indonesia
BANDUNG: Pihak pendakwa Indonesia pada 7 April menuduh 19 individu, termasuk 18 wanita, yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi ke beberapa bandar di Indonesia dan luar negara termasuk Singapura.
Ia merupakan salah satu kes terbesar seumpamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Daerah Bandung dengan memakai baju putih dan jaket tahanan berwarna jingga.
Sebahagian daripada mereka dilihat menundukkan kepala dan menutup wajah daripada sorotan kamera.
Dalam kes tersebut, seorang wanita berusia 70 tahun, Lie Siu Luan, yang dikenali sebagai Lily, dikenal pasti polis sebagai dalang utama.
Dia ditahan pada Julai 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sebaik sahaja pulang dari Singapura.
Menurut dokumen pertuduhan, pendakwa telah mengemukakan tiga pertuduhan terhadapnya, lapor The Straits Times.
Ia termasuk tuduhan utama pemerdagangan manusia yang dilakukan secara bersama dan berulang.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda sehingga 5 bilion rupiah ($440,000).
Pihak pendakwa menuduh sindiket tersebut merekrut, mengangkut dan memindahkan bayi dengan cara menipu, memaksa serta mengambil kesempatan terhadap keadaan ibu yang terdesak.
Menurut siasatan, operasi sindiket bermula seawal sebelum kelahiran bayi.
Perekrut dikatakan mendekati wanita hamil yang menghadapi kesulitan kewangan lalu menawarkan untuk menanggung kos perubatan sebagai bentuk imbalan bagi mendapatkan bayi mereka.
Dalam beberapa kes, bayi dilaporkan telah “ditempah” sebelum dilahirkan.
Sekurang-kurangnya 25 bayi berusia antara lima dengan 14 bulan dipercayai telah diperdagangkan, dengan 15 daripadanya dihantar ke Singapura.
Pembeli tempatan dilaporkan membayar sekitar 20 juta rupiah bagi seorang bayi, manakala pembeli luar negara, termasuk di Singapura, membayar lebih tinggi, melebihi $20,000 bagi setiap bayi.
Ia sekali gus melanggar undang-undang Indonesia yang menetapkan proses pengambilan anak angkat mesti dilakukan tanpa bayaran.
Siasatan turut mendedahkan penggunaan dokumen palsu bagi memudahkan pergerakan bayi.
Bayi tersebut didakwa dimasukkan ke dalam Kartu Keluarga menggunakan sijil kelahiran palsu sebelum pasport diperoleh melalui pejabat imigresen di Pontianak, Kalimantan Barat.
Kartu Keluarga merupakan dokumen rasmi yang merekodkan maklumat isi rumah dan diperlukan untuk pelbagai urusan penting seperti permohonan pasport, pendidikan dan kesihatan.
Bayi dari Bandung, Sukabumi dan Cianjur dipercayai dibawa ke Jakarta sebelum dihantar ke Pontianak untuk urusan dokumen, kemudian dipulangkan semula ke Jakarta untuk diterbangkan ke luar negara.
Polis memaklumkan bayi tersebut diterbangkan terus dari Jakarta ke Lapangan Terbang Changi, sekali gus menolak spekulasi awal bahawa mereka melalui laluan darat di Johor Bahru, Malaysia.
Pihak berkuasa turut mendakwa tiga ejen pengambilan anak angkat dari Singapura terlibat dalam rangkaian tersebut.
Menurut polis, sindiket memilih bayi berdasarkan rupa paras, dengan bayi yang dianggap “cantik” dihantar ke luar negara, manakala selebihnya dijual dalam negara.
Pengarah Jenayah Khas Polis Jawa Barat, Encik Ade Sapari, berkata: “Pemilihan bayi dibuat berdasarkan kriteria tertentu, dan mereka yang dianggap menarik akan dihantar ke luar negara.”
Perbicaraan akan diteruskan di hadapan Hakim Gatot Ardian Agustiono, bersama panel tiga hakim, yang akan mendengar keterangan saksi serta hujah kededua pihak.
Peguam, Encik Aditia Restianda, yang mewakili empat tertuduh, berkata pihaknya akan memastikan anak guamnya mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan klien kami menerima perlindungan undang-undang yang sewajarnya sebagai tertuduh,” katanya.
Beliau menambah setiap rakyat Indonesia mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang, termasuk hak mendapatkan bantuan guaman.
Penganalisis berpandangan tekanan ekonomi terhadap ibu, kelemahan dalam sistem pendaftaran kelahiran serta peraturan ketat pengambilan anak angkat telah membuka ruang kepada kewujudan pasaran gelap.
Pendaftaran kelahiran yang tidak lengkap dikenal pasti sebagai antara faktor yang memudahkan sindiket memanipulasi identiti dan menjalankan operasi secara tersusun.
Kes tersebut dilihat sebagai ujian besar kepada pihak berkuasa Indonesia dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia yang kian kompleks dan merentasi sempadan.

