Topik diikuti
Pergi ke BHku19 maut, 25 cedera dalam rempuhan acara keagamaan di India
19 maut, 25 cedera dalam rempuhan acara keagamaan di India
KOLKATA: Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban manakala lebih 20 lagi cedera pada 17 Oktober di timur India selepas satu insiden rempuhan susulan hujan lebat berlaku secara tiba-tiba ketika satu acara keagamaan Hindu, menurut pihak berkuasa dan media tempatan.
Ketua Menteri Bengal Barat, Encik Suvendhu Adhikari, berkata mangsa yang terkorban termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, manakala 25 lagi cedera di luar sebuah pavilion “dalam satu rempuhan” pada perayaan Hindu, Durga Puja, di bandar Kolkata.
“Enam mayat setakat ini telah dikenal pasti,” katanya.
Seorang pegawai kanan polis di lokasi kejadian berkata satu pengumuman telah mencetuskan “kekecohan” selepas hujan mula turun pada sebelah malam, menyebabkan “orang ramai yang menunggu di luar mula bertolak-tolak, tarik-menarik dan berlari ke depan sebelum terjatuh ke tanah, lalu mengakibatkan insiden rempuhan itu”.
Petugas perubatan dilihat membawa mangsa yang cedera menggunakan pengusung, termasuk seorang pegawai polis, ke hospital tempatan.
Beberapa ahli keluarga mangsa dilihat menangis meratapi pemergian insan tersayang.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, turut merakamkan rasa simpati berhubung tragedi berkenaan dalam satu hantaran di Facebook.
“Insiden rempuhan di Kolkata amat menyedihkan. Salam takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Saya mendoakan mereka yang cedera agar cepat sembuh,” katanya.
“Pemerintah Bengal Barat sedang menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada keluarga terjejas.”
Encik Adhikari pada mulanya mengumumkan 17 kematian.
Kemudian, agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan angka korban meningkat kepada 19 orang, memetik kenyataan susulan Encik Adhikari.
Sembilan mayat telah diserahkan kepada keluarga masing-masing, lapor PTI.
Menurut laporan itu lagi, polis telah mengambil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) acara berkenaan dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang didapati gagal menjalankan tanggungjawab mengawal kesesakan orang ramai.
Rakaman video yang diambil sebelum insiden rempuhan menunjukkan orang ramai berhimpun untuk memasuki pavilion di kawasan sempit yang hanya boleh dilalui beberapa orang pada satu-satu masa, menurut laporan Indian Express.
Insiden rempuhan maut kerap berlaku dalam perhimpunan beramai-ramai di India seperti perayaan keagamaan, akibat kelemahan pengurusan dan kawalan keselamatan.
Pada 2025, rempuhan di perhimpunan keagamaan Kumbh Mela mengorbankan 30 nyawa dan mencederakan beberapa yang lain, manakala 11 penyokong maut dirempuh di Bengaluru ketika meraikan kejayaan pertama pasukan kriket tempatan menjuarai Liga Perdana India.
Pada tahun yang sama, sekurang-kurangnya 36 orang terkorban dan puluhan lagi tercedera selepas berlaku rempuhan dalam perhimpunan kempen seorang pelakon popular yang beralih ke sektor politik, Encik C. Joseph Vijay, dan partinya Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), di negeri selatan Tamil Nadu.
Manakala pada 2024, seramai 121 orang maut di negeri utara Uttar Pradesh ketika menghadiri majlis keagamaan Hindu. – AFP.