NEW DELHI: Keputusan pilihan raya dewan undangan di beberapa negeri India pada 4 Mei, yang masih dalam proses pengiraan, menyerlahkan gelombang tuntutan terhadap perubahan politik, menandakan anjakan besar dalam landskap politik serantau.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Encik Narendra Modi, telah membuka jalan ke tampuk kuasa di Bengal Barat, sebuah wilayah timur yang belum pernah dipimpinnya.

Sementara itu, seorang bintang filem yang baru menceburi diri dalam politik bakal menerajui Tamil Nadu, sebuah negeri selatan yang merupakan salah satu tonggak ekonomi utama India.

Pengulas politik veteran, Cik Neerja Chowdhury mengaitkan keputusan itu sebagai cerminan sentimen antipemerintah yang kukuh, terutama dalam kalangan pengundi muda dan wanita yang gusar tentang masa depan mereka.

“Ini adalah suara kelompok yang dahagakan perubahan,” lapor The Straits Times (ST).

“Mereka menolak pertimbangan lain seperti politik identiti kerana apa yang menjadi kerunsingan mereka adalah soal pekerjaan.”

Kekalahan dua parti pembangkang utama India, All India Trinamool Congress (TMC) di Bengal Barat dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) di Tamil Nadu, membayangkan masa depan yang samar bagi pembangkang politik di negara itu.

“Ini adalah detik krisis sebenar bagi pihak pembangkang, dengan parti serantau yang kian lemah,” ujar Cik Chowdhury.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya India hampir selesai mengira undi pada 4 Mei, keputusan di Bengal Barat, Tamil Nadu, Assam, Kerala, dan Puducherry, yang mengundi pada tarikh berbeza sepanjang April, sudah menunjukkan arah tuju yang jelas.

Di Bengal Barat, ketika artikel ini ditulis, BJP dijangka meraih kemenangan menakjubkan dengan 206 daripada 294 kerusi dewan undangan negeri.

Ini menamatkan 15 tahun pemerintahan TMC pimpinan Cik Mamata Banerjee, jauh mengatasi 77 kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya 2021.

Keadaan berbeza pula di Tamil Nadu, selatan India, apabila keputusan luar biasa tercatat.

Parti baharu milik bintang filem, Encik Joseph Vijay Chandrasekhar, atau lebih dikenali sebagai Thalapathy Vijay, mencatat kemenangan besar dalam penampilan sulungnya sebagai ahli politik.

Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dijangka memenangi lebih 105 daripada 234 kerusi dewan undangan, hanya dua tahun selepas ditubuhkan.

Parti itu berjaya menumbangkan DMK yang berusia 76 tahun, dengan menarik undi dari semua kubu kuat parti tradisional di seluruh negeri.

Sehingga 4 Mei, Bengal Barat adalah salah satu benteng pembangkang utama yang terakhir bertahan menentang populariti Encik Modi dan partinya.

Kini, negeri itu dijangka menjadi salah satu daripada 22 negeri dan wilayah kesatuan yang akan diperintah oleh BJP, sama ada secara bersendirian atau melalui pakatan.

India mempunyai 28 negeri dan tiga wilayah kesatuan yang mempunyai dewan undangan.

TMC telah melancarkan kempen dengan menumpukan pada perlindungan identiti dan budaya Bengali, melabel BJP sebagai parti ‘anti-Bengali’ yang tidak memahami sejarah, budaya, dan semangat Bengal.

Sebagai tindak balas, BJP menangkis label ‘orang luar’ dengan memberi keutamaan kepada pemimpin tempatan berbahasa Bengali yang lebih menonjol semasa kempen, berbanding pada 2021.

Calon BJP di Bengal Barat, sebuah negeri dengan majoriti penduduk bukan vegetarian, malah berkempen dengan membawa ikan dan menikmati makanan bukan vegetarian.

Ia bertujuan menepis dakwaan bahawa parti mereka akan mengharamkan pengambilan daging dan ikan, seperti yang pernah berlaku di negeri lain.

Berucap kepada penyokong di ibu pejabat BJP di New Delhi pada petang 4 Mei, Encik Modi memetik kata-kata tokoh intelektual Bengali dan pemenang Hadiah Nobel, Encik Rabindranath Tagore, untuk menyatakan bahawa BJP akan mewujudkan “persekitaran yang bebas ketakutan di Bengal”.

Keputusan pilihan raya di Bengal Barat itu menyusuli semakan senarai pengundi yang kontroversi, dan menyaksikan pemadaman lebih 9 juta pengundi.

Walaupun kebanyakannya telah meninggal dunia atau berpindah, proses itu juga memberi kesan yang tidak seimbang kepada ramai golongan terpinggir, terutama orang Islam, yang dianggap penyokong tradisional TMC.

Selain janji pembangunan dan skim kebajikan yang disokong oleh pemerintah pusat, mandat jelas BJP di Bengal Barat dikaitkan dengan penyatuan undi yang kukuh dalam kalangan orang Hindu, yang membentuk sekitar 70 peratus penduduk negeri itu.

Undi orang Islam, sebaliknya, berpecah di antara beberapa parti bukan BJP.

Pengundi muda dan wanita bimbang tentang masa depan

“Ini adalah suara kelompok yang dahagakan perubahan. Mereka menolak pertimbangan lain seperti politik identiti kerana apa yang menjadi kerunsingan mereka adalah soal pekerjaan.”
Cik Neerja Chowdhury, pengulas politik veteran.