NEW DELHI: Meskipun puluhan ribu anggota keselamatan dikerah untuk menghalang mereka, penunjuk perasaan muda di India memanjat penghadang, melaungkan cogan kata antipemerintah dan bergelut dengan polis yang cuba mengheret mereka keluar semasa tunjuk perasaan pada awal Oktober.

“Hidup revolusi!”, jerit seorang pemuda sebelum polis menyerbu dan membawanya masuk ke dalam bas.

Jumlah tunjuk perasaan di India sepanjang 2026 dijangka mencecah tahap tertinggi dalam sedekad.

Demikian menurut pertubuhan bebas Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata ACLED.

Ramalan itu menyusul ketika bantahan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Encik Narendra Modi, kian memuncak, dipacu oleh lambakan aktivis Generasi Z yang membanjiri jalan raya.

Penganalisis menyifatkan bantahan belia dan peningkatan sokongan terhadap pembangkang sebagai krisis paling buruk bagi Encik Modi sejak berkuasa pada 2014.

Golongan bawah 30 tahun membentuk hampir satu perempat daripada satu bilion pengundi India, namun pemerintahannya kekal mantap, dengan pilihan raya umum seterusnya hanya pada 2029.

“Rakyat negara ini tiba-tiba berani bersuara,” kata aktivis antipemerintah Encik Yogendra Yadav, yang memainkan peranan utama dalam bantahan tersebut.

“Ini mungkin bukan permulaan kejatuhan pemerintahan Encik Modi, tetapi sudah pasti permulaan kemerosotannya.”

Pemerintah India dan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Encik Modi enggan mengulas.

Bantahan di Delhi dan beberapa wilayah lain menuntut Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya India, Encik Gyanesh Kumar, meletak jawatan.

Desakan itu susulan dakwaan aktivis dan parti pembangkang bahawa proses penyemakan senarai pengundi sengaja dimanipulasi bagi memihak kepada BJP, sekali gus membantu parti pemerintah itu memenangi beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.

BJP, pemerintah dan Suruhanjaya Pilihan Raya India menafikan tuduhan tersebut.

Sebaliknya, BJP mengaitkan kemenangannya dengan sokongan kuat terhadap Encik Modi dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Namun, bantahan tersebut turut mencerminkan kemarahan terhadap kegagalan Encik Modi menyediakan pekerjaan kepada jutaan belia menganggur sepanjang 12 tahun pemerintahannya, meskipun ekonomi berkembang pesat.

Sentimen antipemerintah turut didorong kebocoran kertas peperiksaan penting bagi pekerjaan dan pendidikan, jenayah terhadap wanita yang tinggi serta kemunculan ahli perniagaan bilionair yang didakwa rapat dengan Encik Modi.

Walaupun Encik Modi terkenal sebagai pemimpin tegas dan pemerintahnya pernah bertindak keras terhadap penentang, golongan muda tidak gentar.

“Kami tidak lagi takut,” kata mahasiswi Universiti Delhi, Cik Ananya Raturi, 21 tahun, yang menyertai bantahan besar-besaran pada 10 Oktober. – Agensi berita.