Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

19,000 diarah pindah ekoran kebakaran baru di Los Angeles

Jan 23, 2025 | 1:20 PM
Kebakaran baru yang melanda utara Los Angeles,  Amerika Syarikat, pada 22 Januari menyebabkan lebih 19,000 penduduk segera dipindahkan.
Kebakaran baru yang melanda utara Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 22 Januari menyebabkan lebih 19,000 penduduk segera dipindahkan. - Foto EPA-EFE

CASTAIC (California): Kebakaran liar baru di utara Los Angeles pada 22 Januari merebak dengan pantas di kawasan seluas lebih 8,000 ekar atau 32 kilometer persegi, didorong oleh angin kencang dan cuaca kering.

Kejadian terbaru itu telah memaksa perintah pemindahan ke atas lebih 19,000 orang yang tinggal di kawasan terjejas itu.

Kebakaran di bandar Hughes kira-kira 80 kilometer di utara Los Angeles terus memerah kekuatan anggota bomba di kawasan itu yang telah berjaya mengawal dua kebakaran besar di kawasan metropolitan itu.

Hanya dalam beberapa jam, api merebak lebih separuh daripada saiz Kebakaran Eaton, salah satu daripada dua kebakaran raksasa yang telah memusnahkan kawasan Los Angeles.

Para pegawai memberi amaran kepada orang ramai di kawasan Tasik Castaic di Los Angeles County bahawa mereka berdepan “ancaman serta-merta terhadap nyawa mereka,” manakala sebahagian besar selatan California kekal di bawah amaran risiko kebakaran melampau akibat angin kencang dan cuaca kering.

Kira-kira 19,000 orang, jumlah yang hampir sama dengan keseluruhan penduduk di Castaic, berada di bawah arahan pemindahan mandatori, menurut Jabatan Bomba Daerah Los Angeles.

16,000 lagi berada di bawah amaran pemindahan.

Los Angeles County, wilayah California dan Perkhidmatan Hutan Amerika, berkata anggota bomba segera bertindak memadamkan api dan taman seluas 700,000 ekar (2,800 kilometer persegi) di Pergunungan San Gabriel ditutup kepada penunjung.

Ekoran amaran kecemasan itu, sekitar 1,100 anggota bomba dikerahkan di sekitar California Selatan bagi menjangkakan kebakaran yang bergerak pantas, kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).

California Selatan tidak menerima hujan yang ketara selama sembilan bulan, menyumbang kepada keadaan berbahaya, tetapi hujan diramalkan selama tiga hari dari 25 hingga 27 Januari, mungkin memberikan bantuan yang amat diperlukan oleh bomba.

Kebakaran Eaton seluas 14,021 ekar (57 kilometer persegi) di timur Los Angeles kini 91 peratus terkawal, manakala Kebakaran Palisades, yang telah menghanguskan 23,448 ekar (95 kilometer persegi), telah dapat dikawal 68 peratus. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg