LOS ANGELES: Berjuta-juta penduduk selatan California diberi amaran kebakaran baru pada 14 Januari.
Sementara itu puluhan ribu daripada mereka berdepan dengan bekalan kuasa diputuskan ekoran angin kencang bertiup melintasi landskap kering di sekitar Los Angeles yang dilanda dua kebakaran besar selama seminggu.
Angin Santa Ana yang mula bertiup diramalkan berterusan sehingga pagi 15 Januari dengan kekuatan yang cukup untuk membawa bara api sejauh beberapa kilometer dan mencetuskan kebakaran baru yang kini telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 25 orang.
“Angin yang mengancam nyawa dan memusnahkan sudah bertiup di sini,” kata Ketua Bomba bandar Los Angeles, Cik Kristin Crowley, kepada media.
Sebahagian besar selatan California berada di bawah risiko kebakaran yang tinggi, dengan kru berjaga-jaga dari sempadan Mexico ke tengah California, jauh di utara Los Angeles.
Hampir 90,000 isi rumah kehilangan bekalan elektrik apabila ia ditutup bagi mengelakkan kebakaran baru berlaku.
Penduduk yang letih dan cemas diberitahu supaya bersiap sedia untuk melarikan diri dengan segera.
Polis mengumumkan mereka telah melakukan 50 tangkapan kerana kes rompak, menerbangkan dron di zon kebakaran, melanggar perintah larangan dan jenayah lain.
Daripada jumlah itu, tiga orang ditahan kerana disyaki mencetuskan pembakaran, namun, ia segera dipadamkan, kata Ketua Polis Los Angeles, Encik Jim McDonnell.
Menurutnya, seorang daripada mereka menggunakan pemetik api barbeku, seorang lagi berus menyala dan yang terakhir cuba menyalakan tong sampah.
Semua kes tersebut berlaku jauh di luar zon bencana.
Ancaman daripada angin kencang merupakan kebimbangan terbesar kerana ia boleh mencetuskan kebakaran baru yang mudah merebak.
Pasukan bomba Los Angeles yang kini disokong oleh anggota bomba dari Canada dan Mexico, dalam keadaan bersiap sedia untuk memadam kebakaran baru.
Bilangan mereka jauh lebih besar dari seminggu yang lalu, apabila gelombang pertama kebakaran mula memusnahkan beribu-ribu rumah dalam kejadian paling dahsyat di Amerika.
Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Encik Anthony Marrone, yakin tiupan angin kali ini tidak dijangka mencapai kelajuan yang sama seperti yang dilihat awal sebelum ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg