Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyelamat LA cari mayat, bomba siap tangani kebakaran baru akibat ribut

Jumlah korban kini 24 dan dijangka meningkat; 90,000 kehilangan tempat tinggal
Jan 14, 2025 | 5:37 PM
Lebih 12,000 harta benda berupa rumah, bangunan dan kenderaan musnah akibat kebakaran yang melanda Los Angeles sejak 7 Januari 2025.
Lebih 12,000 harta benda berupa rumah, bangunan dan kenderaan musnah akibat kebakaran yang melanda Los Angeles sejak 7 Januari 2025. - Foto AFP

LOS ANGELES: Pasukan penyelamat Amerika Syarikat dengan anjing pengesan giat mencari mangsa yang terkorban sedang anggota bomba bersiap sedia menghadapi ribut taufan yang boleh mencetuskan kebakaran baru.

Setakat ini, seramai 24 orang dilaporkan terkorban dalam bencana yang memasuki hari ketujuh di bandar kedua terbesar Amerika itu.

Malah, jumlah korban dijangka terus meningkat dengan lebih 90,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal.

Namun, masih ada perkembangan positif dengan sekolah-sekolah yang ditutup sebelum ini dibuka semula, manakala pasukan bola keranjang Los Angeles Lakers tampil bersedia untuk beraksi di gelanggang.

Namun, dengan angin Santa Ana yang kuat dijangka menderu kembali, pegawai di kawasan California Selatan bersiap sedia untuk menghadapi masalah baru.

Peramal menyatakan “keadaan cuaca akibat kebakaran yang sangat kritikal” sedang melanda wilayah itu.

Ia dijangka berlarutan sehingga 15 Januari, dengan angin bertiup kencang sehingga 120 kilometer sejam di Los Angeles dan daerah Ventura.

“Bukan sahaja keadaan yang melampau dan berbahaya ini akan menyukarkan usaha memadam kebakaran yang berterusan, malah ia lebih cenderung menghidupkan semula bara dan api,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

Ancaman bahaya itu tidak banyak membantu meredakan kegelisahan ibu bapa yang cuba memahami bencana tersebut dan mengurangkan trauma yang menyelubungi anak mereka.

Cik Zahrah Mihms, yang tinggal di kejiranan Altadena, berkata:

“Saya cuma berharap keadaan akan bertambah baik. Rumah kami masih ada baki hutang sedikit, kami akan perbaikinya.”

Dalam pada itu, sembilan orang didakwa berhubung rompakan di kawasan larangan, kata ketua pendakwa raya Los Angeles County.

Tuduhan itu termasuk satu kes pecah rumah yang melibatkan kerugian mencecah AS$200,000 ($273,924), kata Peguam Daerah, Encik Nathan Hochman.

Sementara itu, pasukan dengan anjing pengesan mayat sedang menjalankan gerakan di kawasan yang musnah untuk mencari mangsa.

Syerif Daerah, Encik Robert Luna, menyifatkannya sebagai tugas amat berat untuk mencari mangsa di rumah-rumah yang musnah dijilat api.

Kebakaran di daerah Palisades melibatkan kawasan hampir 9,700 hektar dan hanya 14 peratus berjaya dikawal.

Kebakaran di daerah Eaton berkeluasan 5,666 hektar pula hanya sepertiga dapat dibendung.

Lebih 12,000 harta benda berupa rumah, bangunan dan kenderaan musnah akibat kebakaran yang berlaku.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata ia akan “membelanjakan berpuluh bilion dolar untuk mengembalikan Los Angeles seperti asalnya”.

“Kami akan memerlukan Kongres menyediakan pembiayaan untuk menyelesaikannya,” kata beliau dalam taklimat dengan pegawai kecemasan.

Ketua pasukan bomba, Encik Kristin Crowley, berkata pihaknya sedang membuat persiapan bagi menghadapi angin kencang, yang dijangka bertambah buruk pada 14 dan 15 Januari.

Operasi telah disokong oleh pasukan dari seluruh barat Amerika dan dari negara jiran seperti Mexico.

Ketua Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, yang mengkritik cara pihak berkuasa mengendalikan kebakaran, menghantar beberapa Cybertruck dengan terminal Internet satelit Starlink untuk membantu.

Badan penganjur anugerah Oscars berkata ia terpaksa membatalkan majlis jamuan acara pencalonannya kerana Hollywood cuba mengemudi suasana suram ekoran bencana kebakaran hebat itu.

Studio dan syarikat penstriman utama termasuk Netflix, Disney, Amazon, Warner dan syarikat induk Universal Comcast, semuanya telah mengumumkan derma lapan angka.

Sedozen kelab sukan, antaranya Lakers dan pasukan besbol Dodgers, telah menjanjikan sumbangan bernilai AS$8 juta.

Pakar penyiasat kebakaran kini giat menyisir serpihan mencari petunjuk punca kebakaran tersebut. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg