BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) mendakwa Israel melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat mereka di selatan Lebanon, menyebabkan dua anggota pasukan pengaman Kontinjen Indonesia mengalami kecederaan akibat serangan oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) pada 10 Oktober.
Menteri Ehwal Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi, mengesahkan dua anggota tersebut mengalami kecederaan ringan akibat tembakan dari kereta kebal IDF semasa mereka sedang memantau situasi dari menara pemerhati di pangkalan Kontinjen Indonesia di Naqoura.
Israel mengakui tenteranya melepaskan tembakan di kawasan itu, atas alasan ada pejuang Hezbollah yang sedang berperang dengan Israel, beroperasi berhampiran pos Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Dalam masa yang sama tentera Israel turut mengumumkan perampasan tanah ibu pejabat utama Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmukadis Timur yang diduduki untuk membina 1,440 unit perumahan.
Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), keputusan itu berikutan kelulusan draf rang undang-undang oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Knesset Israel yang bertujuan memutuskan hubungan antara Israel dan UNRWA.
Krisis di Lebanon dan Gaza juga melihat angka kematian akibat serangan Israel di Beirut telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 orang sementara dianggarkan 117 orang lagi cedera setelah dua serangan udara Israel melanda tengah Beirut pada petang Khamis, 10 Oktober.
Di Jaluran Gaza, ramai orang awam terperangkap dalam pengeboman dan tembakan apabila terpaksa melarikan diri daripada operasi berskala besar dilakukan IDF ketika mara ke kem pelarian Jabalia di utara Gaza juga pada 10 Oktober.
Selepas mengepung Jabalia hujung minggu lalu, tentera Israel pada 8 Oktober sekali lagi mengarahkan penduduk berpindah dan meninggalkan kem dan seluruh kawasan di sekitarnya.
Berhubung insiden Israel menembak ibu pejabat Unifil di Lebanon, beberapa negara telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan pasukan pengaman PBB di kawasan tersebut, termasuk Perancis dan Italy yang turut menyumbang anggota tentera kepada pasukan Unifil.
Jurucakap Unifil, Encik Andrea Tenenti, dalam kenyataan kepada media, menyifatkan serangan itu sebagai satu perkembangan yang sangat serius.
Beliau menegaskan bahawa pasukan Unifil akan terus berada di pos mereka di selatan Lebanon dan tidak akan berganjak kecuali keadaan menjadi tidak mungkin untuk mereka beroperasi.
Unifil yang ditubuhkan pada 1978, bertujuan mengawasi pengunduran tentera Israel dari selatan Lebanon selepas konflik yang berlaku ketika itu.
Misi itu diperluaskan pada 2006 selepas perang antara Israel dengan Hezbollah, dengan matlamat memastikan pasukan pengaman dapat membantu tentera Lebanon mengawal kawasan di selatan negara itu.
Italy menyatakan bahawa tindakan tersebut ‘boleh dianggap sebagai jenayah perang’, manakala Washington menyatakan ‘kebimbangan yang mendalam’.
Unifil, dengan kira-kira 10,000 anggota pengaman yang ditempatkan di selatan Lebanon menggesa gencatan senjata sejak ketegangan antara Israel dengan kumpulan Hezbollah meningkat pada 23 September, selepas setahun tembakan silang sempadan.
PBB turut mengeluarkan bantahan rasmi kepada tentera Israel, menuntut penjelasan dan tindakan segera bagi melindungi keselamatan pasukan pengaman di Lebanon. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg