Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir sejuta penduduk Lebanon jadi pelarian, terusir

Krisis kemanusiaan di Gaza dan Lebanon kian meruncing
Oct 10, 2024 | 11:06 AM
Kanak-kanak bermain di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara bagi pelarian di Beirut, Lebanon, pada 9 Oktober,  di tengah-tengah ketegangan berterusan antara Israel dengan Hezbollah.
Kanak-kanak bermain di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara bagi pelarian di Beirut, Lebanon, pada 9 Oktober, di tengah-tengah ketegangan berterusan antara Israel dengan Hezbollah. - Foto REUTERS

BEIRUT: Krisis kemanusiaan di Timur Tengah kian buruk dengan lebih 600,000 penduduk Lebanon hilang tempat tinggal dan lebih 300,000 terpaksa melarikan diri ke luar negara sejak peperangan meletus pada September.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Oktober melaporkan angka itu hampir menyamai jumlah pelarian semasa konflik besar Lebanon-Israel pada 2006.

Di Gaza, keadaan kian genting apabila serangan tentera Israel di utara wilayah itu menyebabkan sekurang-kurangnya 400,000 rakyat Palestin terperangkap tanpa akses kepada bantuan asas. Demikian menurut laporan terkini Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini.

Peperangan di dua wilayah itu mencetuskan bencana kemanusiaan teruk. Orang awam menanggung beban utama akibat keganasan yang berlarutan.

Hezbollah, kumpulan bersenjata yang disokong Iran, melancarkan serangan roket ke bandar Israel dan terlibat dalam pertempuran darat dengan tentera Israel di selatan Lebanon.

PBB memberi amaran bahawa hampir sejuta penduduk Lebanon dijangka menjadi pelarian akibat peperangan yang semakin meluas antara Israel dengan kumpulan bersenjata di rantau itu.

Keadaan kian membimbangkan apabila Israel mengeluarkan arahan pemindahan yang kini meliputi satu perempat Lebanon. Menurut PBB, lebih 100 kampung dan kawasan bandar telah dikosongkan.

Tentera Israel turut mengeluarkan amaran keras kepada penduduk selatan Lebanon supaya tidak pulang ke rumah mereka hingga diberitahu.

“Kepada penduduk Selatan Lebanon: Berhati-hatilah!” kata jurucakap tentera Israel, Encik Avichay Adraee, dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam bahasa Arab pada 9 Oktober.

Di Lebanon, lebih 600,000 orang menjadi pelarian di negara sendiri, dengan tempat perlindungan kian sesak.

Pertubuhan kemanusiaan bagi kanak-kanak, Save the Children, melaporkan separuh sekolah awam di Lebanon kini dijadikan pusat perlindungan sementara. Mereka yang kehilangan tempat tinggal juga terpaksa berlindung di pantai, taman, bangunan belum siap, malah sebuah kelab malam.

Di Gaza, keadaan kian teruk apabila serangan darat Israel di kawasan utara wilayah tersebut menyebabkan ratusan ribu penduduk Palestin terperangkap. Encik Lazzarini memberi amaran keadaan di Gaza semakin tidak terkawal.

“Bekalan makanan, air bersih, dan perubatan semakin sukar diperoleh. Banyak pusat perlindungan UNRWA terpaksa ditutup buat kali pertama sejak peperangan bermula,” katanya.

Keadaan semakin genting apabila hospital di Gaza tidak mampu menampung jumlah pesakit yang cedera dalam serangan, manakala jalan utama disekat oleh runtuhan bangunan, menyukarkan usaha menyelamat.

Di Kem Pelarian Jabalia, salah sebuah kawasan paling terkesan, mayat bergelimpangan di jalanan, sementara tentera Israel menghalang pasukan perubatan daripada memasuki kawasan tersebut. Encik Lazzarini turut menzahirkan kebimbangan mengenai nasib kanak-kanak di Gaza.

“Kanak-kanak mangsa utama dalam krisis ini. Mereka berhak hidup dalam aman dan mempunyai masa depan lebih baik,” katanya, sambil mendesak gencatan senjata segera. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg