Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 askar Pengawal Kebangsaan ditembak dalam serangan dekat Rumah Putih

Suspek dikenali sebagai Rahmanullah Lakanwal, warga Afghanistan berusia 29 tahun
Nov 27, 2025 | 4:31 PM
Tembakan, Rumah Putih
Pegawai penguat kuasa undang-undang mengawal kawasan selepas kejadian tembakan di pusat bandar Washington pada 26 November. - Foto AFP

WASHINGTON: Dua anggota tentera Pengawal Kebangsaan cedera parah ditembak di Washington pada 26 November berhampiran Rumah Putih yang dikatakan sebagai serangan bersasar.

Suspek kini ditahan selepas mengalami kecederaan akibat tembakan semasa serangan itu.

Pegawai mengenal pasti suspek sebagai, Rahmanullah Lakanwal, seorang warga Afghanistan berusia 29 tahun dari Washington.

Serangan itu sedang disiasat sebagai tindakan pengganasan.

Lakanwal tiba di Amerika pada 2021 melalui operasi Allies Welcome, inisiatif mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, untuk menempatkan semula ribuan rakyat Afghanistan yang membantu Amerika dan terdedah kepada pembalasan dendam Taleban selepas Amerika menarik diri dari Afghanistan.

Lakanwal memohon suaka pada Disember 2024 dan diluluskan pada 23 April 2025, tiga bulan selepas Presiden Donald Trump mengambil alih jawatan. Dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Encik Trump berkata pentadbirannya akan “menilai semula” semua rakyat Afghanistan yang datang ke Amerika di bawah pentadbiran Encik Biden.

Agensi Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika kemudian menghentikan semua pemprosesan permohonan imigresen warga Afghanistan sementara semakan keselamatan dijalankan.

Kededua anggota tentera, dari Tentera Pengawal West Virginia, merupakan sebahagian daripada “anggota berprofil tinggi”.

Kejadian berlaku sekitar 2.15 petang, beberapa blok dari Rumah Putih.

Suspek muncul dari sudut tepi dan “menyerang” mereka, kata Penolong Ketua Polis Metropolitan, Encik Jeff Carroll, semasa taklimat media.

Selepas pertukaran tembakan, anggota Pengawal Kebangsaan lain berjaya menahan penembak.

Kededua anggota yang cedera berada dalam keadaan tenat di hospital tempatan, ujar Ketua Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Kash Patel.

“Ini adalah serangan bersasar,” kata Datuk Bandar Washington, Cik Muriel Bowser.

Menurut pegawai, penembak itu bertindak seorang diri.

Encik Trump mengarahkan 500 anggota Pengawal Kebangsaan tambahan ke Washington, menyertai 2,200 yang sudah berada di bandar bagi operasi tegas pentadbirannya terhadap imigresen dan jenayah di bandar diketuai Demokrat.

Dalam satu hantaran media sosial, Encik Trump menyifatkan suspek sebagai “binatang” yang akan dipertanggungjawabkan dan memuji Pengawal Kebangsaan. 

Timbalan Presiden, Encik J.D. Vance, yang berada di Kentucky pada 26 November, berkata tragedi itu membuktikan dasar imigresen pentadbiran Trump adalah wajar.

“Kita mesti menggandakan usaha untuk menghantar pulang individu yang tiada hak berada di negara kita,” katanya.

Pengkritik dasar imigresen Encik Trump berkata ia menahan pendatang asing secara sewenang-wenangnya, termasuk yang tiada rekod jenayah atau berada di Amerika secara sah.

Kejadian tembakan berlaku berhampiran Farragut Square, kawasan makan tengah hari popular, beberapa blok dari Rumah Putih. 

Suasana menjadi huru-hara selepas tembakan dilepaskan dengan pejalan kaki berlari menyelamatkan diri.

Encik Mike Ryan, 55 tahun, berkata beliau dalam perjalanan membeli makan tengah hari apabila terdengar bunyi seperti tembakan. 

Beliau lari dan terdengar tembakan lagi. Apabila kembali ke lokasi, beliau melihat dua anggota Pengawal Kebangsaan terbaring di jalan, dengan orang ramai cuba memberi pertolongan. Pada masa sama, anggota lain menahan seseorang.

Anggota Pengawal Kebangsaan telah berada di Washington sejak penempatan awal Encik Trump pada Ogos, yang ditentang pegawai tempatan dan dikritik Demokrat. 

Kontinjen tentera termasuk dari District of Columbia, Louisiana, Mississippi, Ohio, South Carolina, West Virginia, Georgia dan Alabama. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg