Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump mahu kerah tentera Pengawal Kebangsaan ke Chicago

Sep 3, 2025 | 2:19 PM
donald trump, chicago
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pada 2 September bahawa beliau mahu mengerahkan tentera Pengawal Kebangsaan untuk membasmi jenayah di Chicago. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau akan mengerahkan anggota Pengawal Kebangsaan untuk membanteras jenayah di Chicago, satu tindakan luar biasa di bandar ketiga terbesar di negara itu yang mungkin mencetuskan konflik perundangan dengan pegawai tempatan.

“Kami akan masuk (Chicago). Saya tidak katakan bila, tetapi kami akan masuk,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih pada 2 September.

Mayor Bandar Chicago, Encik Brandon Johnson, dengan pantas mengecam tindakan itu.

“Beliau hanya mahu pasukan polis rahsianya sendiri yang akan membuat gimik setiap kali kedudukan tinjauan popularitinya merosot, setiap kali laporan pekerjaan menunjukkan ekonomi tidak berkembang, atau bila-bila sahaja beliau memerlukan isu baru untuk mengalihkan tumpuan daripada kegagalannya,” katanya Encik Johnson kepada pemberita.

Beberapa jam sebelum itu, seorang hakim persekutuan menghalang pentadbiran Encik Trump daripada menggunakan tentera untuk memerangi jenayah di California, satu keputusan yang tidak berkuat kuasa di negeri lain.

Namun hakim berkata bahawa keinginan Encik Trump untuk menghantar tentera ke Chicago dan bandar lain memberikan sokongan terhadap keputusan penghakimannya itu.

Sejak memegang jawatan presiden, Encik Trump telah cuba untuk meluaskan peranan tentera di Amerika, yang dikatakan pengkritik sebagai peluasan kuasa eksekutif berbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan antara tentera dengan rakyat biasa.

Encik Trump telah mengeluarkan perintah eksekutif secara bertubi-tubi dan mengambil langkah sepihak untuk mencapai matlamat dasar mengekang imigresen dan mengurangkan saiz tenaga kerja persekutuan, kepada usaha membawa universiti elit dan firma undang-undang di bawah telunjuknya.

Gabenor Illinois, Encik J.B. Pritzker, berkata beliau mengetahui daripada wartawan bahawa pentadbiran Encik Trump telah “mengumpul ejen penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) serta kenderaan tentera, dan terdapat lebih banyak ejen ICE yang sedang dalam perjalanan”.

Beliau berkata pentadbiran Encik Trump sedang mengatur Pengawal Kebangsaan Texas untuk ditempatkan di Illinois bersama dengan ejen ICE, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan agensi lain.

Encik Pritzker berkata Encik Trump akan meletakkan ejen persekutuan bersenjata dan kenderaan tentera di atas hartanah persekutuan seperti Pangkalan Tentera Laut Great Lakes.

Encik Trump sebelum ini berkata beliau akan “berasa amat gembira” sekiranya Encik Pritzker, seorang Demokrat, meminta kehadiran tentera, tetapi “kami tetap akan melakukannya”.

Mayor Chicago, Encik Johnson, juga seorang Demokrat, berkata pada hujung minggu lalu bahawa polis Chicago tidak akan bekerjasama dengan tentera Pengawal Kebangsaan atau ejen persekutuan jika Encik Trump mengerahkan mereka ke bandar tersebut.

Encik Pritzker, yang namanya juga telah disebut-sebut sebagai calon presiden 2028, berkata pihak berkuasa negeri itu telah dapat mengumpulkan lebih banyak butiran daripada “pegawai patriotik yang tidak dibenarkan di dalam pemerintah dan daripada wartawan yang mempunyai sumber baik” mengenai rancangan Encik Trump membawa anggota tentera ke bandar itu (Chicago).

Encik Trump telah mengancam untuk memperluaskan tindakan keras persekutuannya ke atas bandar-bandar Amerika pimpinan Demokrat termasuk Chicago, meskipun pihak berkuasa bandar-bandar itu telah menjelaskan berlakunya penurunan dalam kes pembunuhan, keganasan senjata api dan pecah rumah. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg