Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban banjir kilat Pakistan naik kepada lebih 360

Aug 20, 2025 | 1:56 PM
karachi, banjir, pakistan
Orang ramai mengharungi jalan raya yang dilanda banjir menyusuli hujan lebat di Karachi pada 19 Ogos. - Foto AFP

DALORI BALA (Pakistan): Jumlah korban banjir di barat laut Pakistan sejak lima hari lalu telah meningkat kepada 365 orang, kata pihak berkuasa pada 19 Ogos.

Banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan lebat dan ribut di kawasan pergunungan itu adalah yang terburuk sejak musim tengkujuh 2025.

Pegawai memberi amaran tentang lebih banyak ribut melanda pada beberapa hari akan datang.

Di kampung Dalori Bala berhampiran pergunungan Gadoon, angka kematian meningkat kepada 30 orang selepas pekerja penyelamat menemui lebih banyak mayat pada 19 Ogos, kata pesuruhjaya daerah tempatan Encik Nisar Khan.

Sekurang-kurangnya sembilan orang lagi hilang, katanya.

Penduduk perkampungan kira-kira 100 rumah konkrit di pergunungan daerah Swabi berkata arus batu menghempap rumah, menyebabkan dinding dan bumbung runtuh, pada pagi 18 Ogos.

Ia bermula dengan bunyi gemuruh yang “mengerikan”, kira-kira 8 pagi, kata Encik Zeeshan Ali, seorang pelajar kolej berusia 20 tahun.

“Ia menghanyutkan segala-galanya dalam satu masa, dalam beberapa saat,” tambahnya sambil menyatakan keluarganya sempat melarikan diri ke tempat lebih selamat.

Buner, di utara, menerima lebih daripada 150 milimeter (mm) hujan dalam sejam yang dicetuskan oleh hujan lebat pada pagi 15 Ogos, membunuh lebih 200 orang dalam musim tengkujuh sekarang ini.

Hujan lebat melibatkan lebih 100mm dalam masa sejam adalah fenomena yang jarang berlaku di kawasan terpencil.

Mayat masih ditemui di barat laut dan jumlah orang yang hilang masih belum dapat dipastikan, kata Leftenan Jeneral Inam Haider Malik, ketua Penguasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

Menurut beliau, lebih 25,000 orang telah diselamatkan setakat ini daripada kawasan yang dilanda banjir, dengan seramai 695 orang terbunuh di seluruh Pakistan sejak akhir Jun.

Anggota tentera darat dan tentera udara telah menyertai usaha mencari dan menyelamat.

Di selatan Pakistan, hujan lebat membanjiri jalan utama di bandar pelabuhan Karachi, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan bekalan elektrik terputus pada 19 Ogos, kata jurucakap pemerintah wilayah.

Rakaman televisyen menunjukkan kereta terapung di dalam air banjir di laluan utama bandar dan air hujan memasuki rumah di kawasan rendah.

Pihak berkuasa berkata 145mm hujan telah turun di bandar itu dan mungkin terdapat lebih banyak banjir melanda di selatan Pakistan, termasuk Karachi.

NDMA telah memberi amaran tentang musim tengkujuh yang lebih kuat di seluruh negara sehingga 10 September. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg