Seorang penumpang dan seorang kru cedera apabila sebuah pesawat penerbangan Air New Zealand dari Wellington ke Queenstown dilanda gelora udara pada 16 Jun.
Penumpang itu mengalami kelecuran apabila seteko kopi di atas troli khidmat sajian tertumpah ke atasnya, apabila penerbangan NZ607 itu dilanda gelora udara, sementara kru berkenaan tercampak ke siling kabin pesawat.
Menurut Radio New Zealand, penumpang itu, yang dikenal pasti hanya dengan nama pertamanya, Cik Suze, berkata penumpang diberitahu agar menjangka berlakunya gelora udara.
Kira-kira 15 minit selepas berlepas, pesawat itu mengalami gegaran kecil semasa minuman disajikan, diikuti gegaran lebih dahsyat.
Mengimbas kejadian tersebut, Cik Suze berkata troli minuman itu bergerak sepanjang lorong kabin, menyebabkan penutup teko kopi tertanggal, menumpahkan kopi ke perut dan belakangnya.
Cik Suze, yang memakai tali pinggang keledar pada masa itu, berkata pesawat tersebut bergegar-gegar dilanda gelora.
Beliau, yang kerap menaiki penerbangan itu, mendapatkan sebotol air sejuk dan menuangkannya ke atas tubuhnya dengan bantuan seorang paramedik yang duduk di belakangnya.
Menurut saluran media Crux, dua ambulans dikejarkan ke Lapangan Terbang Queenstown.
Dalam satu kenyataan kepada media Herald, ketua pegawai integriti operasi dan keselamatan Air New Zealand, Kapten David Morgan, berkata kru pesawat itu “dilatih untuk bertindak apabila menghadapi situasi sedemikian”.
“Dari masa ke masa, gelora udara cuaca cerah akan berlaku apabila udara bergelora tidak dapat dilihat oleh kru pesawat,” ujarnya.
“Kami sentiasa menyemak prosedur operasi selaras dengan peraturan dan amalan terbaik antarabangsa untuk memastikan keselamatan pelanggan dan kru pesawat kami diutamakan.”
Pada 21 Mei, seorang penumpang meninggal dunia akibat serangan jantung dan ramai penumpang lain dan kru cedera apabila sebuah penerbangan Singapore Airlines (SIA) dilanda gelora udara buruk di ruang angkasa di atas Lembangan Irrawaddy.
Pesawat dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Singapura itu membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Thailand.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg