Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 kanak-kanak maut, 17 cedera kes tembak di gereja Minneapolis AS

Aug 28, 2025 | 2:25 PM
Seorang penyiasat polis memasuki Gereja Annunciation di Minneapolis, Amerika Syarikat, selepas kejadian menembak yang membunuh dua kanak-kanak pelajar sekolah dan mencederakan 17 yang lain pada 27 Ogos 2025.
Seorang penyiasat polis memasuki Gereja Annunciation di Minneapolis, Amerika Syarikat, selepas kejadian menembak yang membunuh dua kanak-kanak pelajar sekolah dan mencederakan 17 yang lain pada 27 Ogos 2025. - Foto REUTERS

MINNEAPOLIS (Amerika Syarikat): Seorang penyerang yang bersenjatakan tiga pistol telah melepaskan tembakan melalui tingkap kaca berwarna ke dalam sebuah gereja Katolik, tempat pelajar sekolah menghadiri upacara keagamaan pada 27 Ogos, membunuh dua kanak-kanak dan mencederakan 17 lain, kata pegawai.

Menurut Ketua Polis Minneapolis, Amerika Syarikat, Encik Brian O’Hara, suspek yang dikenali sebagai, Robin Westman, 23 tahun, kemudian “membunuh dirinya sendiri” di kawasan belakang gereja tersebut

Encik O’Hara bagaimanapun enggan menjelaskan motif serangan.

Mesej rakaman video oleh Westman menunjukkan suspek itu dilanda masalah kemurungan dan terpengaruh dengan sebilangan pelaku kes tembakan lalu.

Pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Kash Patel, berkata agensinya sedang menyiasat serangan itu sebagai “tindakan pengganasan domestik dan jenayah kebencian yang menyasarkan penganut Katolik”.

Kedua-dua mangsa yang maut itu, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun, terkena tembakan di tempat mereka duduk di dalam gereja tersebut.

Serangan itu menyebabkan hadirin berlindung di belakang bangku manakala kanak-kanak lebih besar berebut untuk melindungi kanak-kanak lebih kecil, kata pegawai.

Upacara itu diadakan setiap tahun pada Rabu pertama permulaan tahun akademik di Sekolah Katolik Annunciation.

“Ini adalah tindakan pengganasan yang disengajakan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa dan orang lain yang menyertai upacara agama.

“Kekejaman dengan menembak ke arah dalam gereja yang penuh dengan kanak-kanak sama sekali tidak dapat difahami,” ujar Encik O’Hara.

Menurut beliau, kesemua 17 yang cedera itu terdiri daripada 14 pelajar berusia enam hingga 18 tahun, dan tiga penganut berusia 80-an tahun.

Semua yang cedera dijangka pulih dan keluar hospital dalam masa terdekat, tambahnya.

Buku tahunan 2017 sekolah itu menunjukkan bahawa Westman pernah menjadi pelajar di sekolah tersebut, lapor akhbar Amerika, Minneapolis Star Tribune.

“Saya tidak mempunyai maklumat untuk dikongsi mengenai motifnya, selain menyatakan terdapat manifesto yang dijadual untuk disiarkan di YouTube,” kata Encik O’Hara, sambil menambah bahawa ia telah diturunkan pihak berkuasa.

Video dalam talian menunjukkan teks nota bunuh diri oleh penembak itu, yang meluahkan perasaan tertekan dan ingin melakukan tembakan besar-besaran.

Rekod mahkamah menunjukkan nama Robin Westman ditukar daripada Robert pada 2020 kerana Westman menganggap dirinya perempuan.

Westman melepaskan berpuluh-puluh das tembakan dengan senapang, senapang patah dan pistol, semuanya dibeli secara sah, kata Encik O’Hara.

Pihak berkuasa berkata lebih banyak senjata ditemui di lokasi lain yang dikaitkan dengan suspek.

Polis berkata Westman tiada rekod jenayah dan kelihatan bertindak sendiri.

Pihak berkuasa berkata serangan itu tiada kaitan dengan tiga kes tembakan lain dalam tempoh 24 jam lalu di Minneapolis, termasuk satu di sebuah sekolah tinggi Jesuit.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengarahkan bendera Amerika dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai tanda berkabung. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg