Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki serang orang ramai di AS dengan bom api, 8 cedera

Suspek sasar perhimpunan peringati tebusan Israel di Gaza
Jun 2, 2025 | 11:36 AM
Boulder, serangan bom api, Amerika
Polis dan ejen Biro Siasatan Federal (FBI) berkumpul di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat, pada 1 Jun, susulan satu serangan yang menyebabkan lapan orang cedera. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan susulan satu kejadian yang mencederakan lapan orang semasa satu perhimpunan bagi memperingati tebusan Israel yang masih berada di Gaza, kata pihak berkuasa.

Dalam kejadian tersebut, Mohamed Sabry Soliman, telah menjerit “Bebas Palestin” dan melontar bahan letupan ke arah orang ramai di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat.

Empat wanita dan lelaki berusia antara 52 tahun dengan 88 tahun telah dibawa ke hospital susulan kejadian tersebut.

Ejen Khas, Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Mark Michalek, yang mengetuai pejabat di Denver, ibu negeri Colorado, berkata kejadian tersebut merupakan tindakan pengganasan.

“Berdasarkan maklumat awal, jelas ini adalah satu tindakan pengganasan yang disasarkan, dan FBI sedang menyiasat kes ini sebagai satu perbuatan pengganasan,” katanya.

Mohamed Soliman telah dimasukkan ke hospital sejurus selepas serangan itu.

Agensi berita Reuters tidak berjaya mendapatkan maklumat untuk menghubunginya atau keluarganya.

Pengarah FBI, Encik Kash Patel, menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan pengganas yang disasarkan”, manakala Peguam Negara Colorado, Encik Phil Weiser, berkata serangan itu terlihat sebagai “satu jenayah kebencian berdasarkan kumpulan yang disasarkan”.

Ketua Polis Boulder, Encik Stephen Redfearn, dalam satu sidang media berkata beliau tidak percaya ada individu lain yang terlibat.

“Kami cukup yakin suspek tunggal sudah berada dalam tahanan kami,” katanya sambil menegaskan bahawa “tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali”.

Kejadian itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak di Amerika susulan perang Israel di Gaza.

Ia telah mencetuskan peningkatan dalam jenayah kebencian berunsurkan anti-Semitisme (fahaman anti-Yahudi), serta usaha daripada penyokong konservatif Israel yang diketuai Presiden Amerika, Encik Donald Trump, bagi melabelkan bantahan pro-Palestin sebagai anti-Semitik.

Pentadbiran Encik Trump juga telah menahan penunjuk perasaan tanpa sebarang dakwaan serta memotong dana kepada universiti terkemuka di Amerika yang membenarkan bantahan tersebut.

Seorang pelajar Universiti Colorado, Cik Brooke Coffman, 19 tahun, yang menyaksikan kejadian di Boulder itu berkata beliau melihat empat wanita terbaring atau terduduk di atas tanah dengan kesan melecur pada kaki.

Beliau turut menggambarkan melihat seorang lelaki – yang disyakinya sebagai penyerang tersebut – berdiri di kawasan laman tanpa berbaju, sambil memegang sebotol kaca berisi cecair jernih dan menjerit-jerit.

Ketua Senator Minoriti, Encik Chuck Schumer, seorang ahli politik Demokrat berketurunan Yahudi yang berpengaruh, berkata beliau sedang memantau rapat perkembangan kejadian tersebut.

“Perkara ini amat mengerikan dan ia tidak boleh dibiarkan berterusan. Kita mesti bangkit menentang anti-Semitisme.”

Serangan itu berlaku susulan penahanan seorang lelaki kelahiran Chicago yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan maut terhadap dua kakitangan Kedutaan Israel di Washington.

Kejadian tembakan itu semakin memburukkan ketegangan di Amerika berhubung perang di Gaza, di tengah-tengah perpecahan antara penyokong Israel dengan penunjuk perasaan pro-Palestin.

Gabenor Colorado, Encik Jared Polis, menulis di media sosial bahawa kejadian ini “sukar dibayangkan apabila masyarakat Yahudi sekali lagi berdepan serangan pengganas di Boulder”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg