Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FBI: Penyerang New Orleans bertindak sendirian, didorong ISIS

Siasatan tidak temui kaitan langsung antara kejadian dengan letupan di Las Vegas
Jan 3, 2025 | 5:11 PM
Sebuah kenderaan polis Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas menghalang jalan berhampiran Trump International Hotel & Tower selepas trak, Tesla Cybertruck, meletup di hadapan pintu masuk hotel itu pada 1 Januari 2025.
Sebuah kenderaan polis Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas menghalang jalan berhampiran Trump International Hotel & Tower selepas trak, Tesla Cybertruck, meletup di hadapan pintu masuk hotel itu pada 1 Januari 2025. - Foto AFP

NEW ORLEANS: Seorang tentera veteran Amerika Syarikat yang membunuh 14 orang dengan merempuh hadirin pesta sambutan Tahun Baru dengan sebuah trak di New Orleans telah berikrar taat setia kepada kumpulan pengganas ISIS dan bertindak bersendirian, menurut Biro Siasatan Federal (FBI) pada 3 Disember.

Penyerang itu dikenal pasti sebagai Shamsud-Din Bahar Jabbar, 42 tahun, seorang warga Amerika dari Texas yang pernah berkhidmat di Afghanistan selama lapan tahun.

“Kami yakin dia bertindak sendirian tanpa bantuan rakan sejenayah,” kata Timbalan Penolong Pengarah FBI, Encik Christopher Raia, mengubah penilaian awal bahawa Jabbar mungkin mempunyai rakan, pada satu sidang media pada 3 Januari.

Namun, beliau mengesahkan kesimpulan biro itu bahawa Jabbar terdorong oleh IS, kumpulan militan yang mempunyai anggota di Iraq dan Syria.

Beberapa jam selepas serangan di New Orleans itu, satu letupan berlaku di luar Hotel Antarabangsa Trump di Las Vegas. Ia melibatkan sebuah trak, Tesla Cybertruck, dan mencederakan tujuh orang.

Pemandu kereta itu dikenal pasti sebagai Sarjan Matthew Alan Livelsberger, 37 tahun, seorang anggota aktif Pasukan Khas Tentera Amerika.

Livelsberger dilaporkan menembak dirinya sendiri di kepala sebelum letupan tersebut.

Encik Raia berkata siasatan setakat ini tidak menemui kaitan langsung antara dua serangan itu.

Jabbar menggunakan trak sewaan Ford dan memasang bendera ISIS semasa melancarkan serangan di Bourbon Street yang terkenal di French Quarter itu.

Dia kemudian terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis selepas serangan itu, yang turut mencederakan berpuluh-puluh orang dan disifatkan oleh FBI sebagai satu tindakan pengganasan.

“Ia serangan yang dirancang dan satu tindakan jahat,” ujar Encik Raia.

Sebelum serangan, Jabbar memuat naik lima video di Facebook, dan mengatakan bahawa awalnya, dia merancang menyerang keluarga dan rakan-rakannya.

Namun, dia kemudian memutuskan untuk menyasarkan orang ramai bagi menarik perhatian kepada apa yang disifatkannya sebagai “perang antara orang beriman dengan tidak beriman”.

Jabbar turut meletakkan bahan letupan di dua lokasi lain di French Quarter sebelum serangan itu.

Bagaimanapun, bahan letupan itu tidak sempat diaktifkannya.

Mengenai kes Livelsberger, Sheriff Kevin McMahill, dari Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas berkata:

Kami melihat ini sebagai kes bunuh diri, diikuti letupan. Tidak ada label lain yang diberikan pada masa ini.”

Di dalam kenderaan tersebut, penyiasat menemukan senjata api, bahan api, bunga api, dan kad pengenalan tentera.

Walaupun motif kejadian masih belum jelas, FBI mengakui bahawa lokasi kejadian di hadapan bangunan Trump dan penggunaan Tesla Cybertruck menimbulkan kebimbangan keselamatan.

Ejen khas FBI, Encik Spencer Evans, berkata: “Masih terlalu awal untuk menyimpulkan motif pemandu Cybertruck itu. Kami sedang menyiasat setiap kemungkinan.”

Kejadian pada Tahun Baru itu mendorong pihak berkuasa meningkatan kawalan keselamatan di seluruh negara, terutama semasa acara awam besar yang dijadualkan pada beberapa hari mendatang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg