BANGKOK (Thailand): Seorang lelaki rakyat Malaysia dan isterinya warga Thailand yang dipercayai mendalangi kegiatan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (RM652.8 juta / $197 juta) melalui rangkaian transaksi palsu telah ditahan polis Thailand.
Selain lelaki yang dipercayai ketua sindiket berkenaan ditahan pada 16 Disember di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkhla, isterinya ditahan di lokasi berasingan pada 18 Disember.
Dengan penahanan dua suspek itu, polis Thailand percaya ia telah berjaya membanteras sindiket penipuan utama yang dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram berskala besar terbabit.
Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (ECD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB), Pol Mejar Jeneral Puttidej Bunkrapue, dilaporkan berkata lelaki Malaysia berusia 38 tahun itu adalah individu dikehendaki di bawah waran yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Thailand.
“Kededua suspek menghadapi tuduhan bersekongkol dalam pengubahan wang haram,” kata Mejar Jeneral Puttidej melalui kenyataan, memetik laporan Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata, semasa soal siasat, kedua-dua suspek mengaku merekrut individu untuk menubuhkan entiti sah terutama untuk membuka akaun bank.
Akaun itu kemudian dijual kepada pelanggan di beberapa negara Asean.
Sementara itu, Pol Kolonel Theeraphas Yungyuen, yang mengetuai siasatan berkata, operasi itu adalah rangkaian yang sangat terancang melibatkan warga Thailand dan asing.
“Sindiket itu mengubah wang lebih 5 bilion baht melalui lapisan transaksi penipuan yang kompleks,” ujarnya.
Lebih 50 waran tangkap telah dikeluarkan ke atas individu yang dikaitkan dengan kes itu sejak beberapa bulan lalu, tambah beliau.
Suspek yang ditangkap adalah dalang dalam skim canggih dan mereka didakwa mengatur proses pengubahan wang haram dengan memindahkan dana melalui pelbagai akaun bank sebelum menukar wang itu kepada mata wang kripto USDT.
“Penggunaan aset digital ini merumitkan usaha untuk mengesan dana,” tambahnya.
Kolonel Theeraphas berkata tangkapan itu berikutan aduan daripada ramai mangsa yang diperdaya untuk melabur melalui aplikasi mudah alih palsu termasuk, ‘Nicshare’ dan ‘ComonApps’.
Aplikasi itu secara palsu menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan pasaran saham.
Beliau berkata pihak CIB melancarkan Operation Ghost Company dan mendedahkan lebih 200 shell company – syarikat tidak aktif – wujud secara sah.
Namun, hanyalah di atas kertas di seluruh Thailand, dengan kebanyakan entiti itu tidak beroperasi tetapi digunakan untuk membuka akaun bank keldai yang memudahkan pengubahan wang haram.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg