Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 maut dihimpit cuba rebut bantuan PBB di gudang Gaza

Lagi 2 maut ditembak apabila pecah masuk
May 29, 2025 | 2:16 PM
Para penduduk dilihat memikul makanan yang dilarikan daripada sebuah gudang Program Makanan Sedunia di  Deir el-Balah, tengah Gaza, pada 28 Mei.
Para penduduk dilihat memikul makanan yang dilarikan daripada sebuah gudang Program Makanan Sedunia di Deir el-Balah, tengah Gaza, pada 28 Mei. - Foto AFP

KAHIRAH/BAITULMAKDIS: Sebuah gudang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza telah dipecah masuk oleh penduduk yang kelaparan pada 28 Mei ketika bantuan kembali disalurkan ke wilayah Palestin yang dilanda krisis kekurangan makanan itu.

Sumber perubatan di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah melaporkan dua individu maut akibat dihimpit dalam kesesakan orang ramai manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan.

Kejadian itu berlaku ketika Amerika Syarikat giat menyediakan syarat baru untuk kemungkinan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Program Makanan Sedunia (WFP) berkata laporan awal ialah dua orang maut dan beberapa lagi cedera dalam kejadian di gudang di tengah Gaza itu.

Agensi PBB merayu peningkatan segera bantuan makanan “untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak akan kelaparan”.

Video rakaman saksi menunjukkan sekumpulan besar orang merempuh masuk ke dalam gudang dan melarikan beg-beg dan kotak-kotak makanan ketika bunyi tembakan kedengaran.

Tidak diketahui bagaimana penduduk yang terlibat dalam kejadian itu terbunuh atau cedera.

Di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, Israel menamatkan sekatan bantuan selama 11 minggu ke atas Gaza 10 hari lalu.

Ia telah membenarkan jumlah bantuan yang terhad dihantar melalui dua saluran – PBB atau Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika.

Utusan PBB di Timur Tengah, Encik Sigrid Kaag, memberitahu Majlis Keselamatan bahawa jumlah bantuan Israel setakat ini membolehkan PBB menyampaikan bantuan bak “bot penyelamat tiba selepas kapal itu karam” ketika penduduk di Gaza menghadapi risiko kebuluran.

Amerika telah cuba untuk menjadi perantara gencatan senjata.

Israel – yang meneruskan operasi ketenteraannya di Gaza pada Mac selepas gencatan senjata singkat – kembali melakukan serangan pada 28 Mei, membunuh sekurang-kurangnya 30 orang, kata pegawai kesihatan Palestin.

“Kami kini sedang cuba meyiapkan syarat-syarat baru yang diharapkan akan dihantar lewat hari ini,” kata utusan khas Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff, pada 28 Mei.

“Presiden akan menyemaknya,” tambahnya.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada 28 Mei bahawa pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Mohammad Sinwar, menandakan “kekalahan Hamas sepenuhnya”, dan Israel “menguasai pengagihan makanan” di Gaza.

Israel menuduh Hamas mengalihkan dan merampas bekalan bantuan.

Hamas telah menafikannya.

Di PBB, lebih separuh daripada 15 anggota Majlis Keselamatan menyeru badan itu bertindak ke atas Gaza.

Duta Besar Slovenia, Encik Samuel Zbogar, berkata beberapa anggota sedang mengusahakan draf ketetapan untuk menuntut akses bantuan tanpa halangan.

Duta Besar Israel di PBB, Encik Danny Danon, berkata bahawa Israel membenarkan penghantaran bantuan menerusi PBB dan GHF, mulai 26 Mei.

“PBB harus mengetepikan ego mereka dan bekerjasama dengan mekanisme baru,” kata Encik Danon kepada pemberita sebelum mesyuarat majlis itu.

PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa lain telah menolak untuk bekerjasama dengan GHF kerana mereka menyatakan rancangan itu bersifat tidak berkecuali. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg