RAFAH: Ribuan penduduk Palestin bergegas ke pusat agihan bantuan baru yang diuruskan oleh kumpulan disokong Amerika Syarikat di selatan Gaza pada 27 Mei sehingga menyebabkan keadaan menjadi huru-hara ketika Israel melaksanakan sistem agihan baru.
Insiden di Rafah ini berlaku beberapa hari selepas sekatan bantuan penuh yang dikenakan oleh Israel sejak 2 Mac sebahagiannya dilonggarkan.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kemudian mengakui terdapat “kehilangan kawalan seketika” di pusat itu, namun seorang pegawai kanan tentera berkata agihan tersebut “tetap berjaya”.
Menurut Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika, operasi biasa disambung semula selepas insiden tersebut.
Encik Ayman Abu Zaid, seorang penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal, berkata beliau sedang beratur di pusat itu ketika “tiba-tiba ramai orang mula menolak dan masuk secara sembarangan”.
“Ini berlaku kerana kekurangan bantuan dan kelewatan dalam agihan, jadi mereka cuba masuk untuk mengambil apa sahaja yang ada,” katanya.
Pada satu ketika, “tentera Israel mula melepaskan tembakan amaran, bunyinya sangat menakutkan, dan orang ramai mula bertempiaran lari, tetapi ada juga yang masih cuba mendapatkan bantuan walaupun berdepan bahaya,” tambahnya.
Tentera Israel kemudian berkata bahawa “tentera kami melepaskan tembakan amaran di kawasan luar pusat itu” dan bahawa mereka telah “mengembalikan kawalan sepenuhnya”.
GHF dalam satu kenyataan berkata bahawa pada satu ketika, “jumlah orang yang terlalu ramai di pusat agihan SDS menyebabkan pasukan GHF berundur untuk membolehkan sebilangan kecil penduduk Gaza mengambil bantuan dengan selamat dan beredar”.
“Operasi biasa telah disambung semula,” tambah GHF.
Rakaman AFP menunjukkan orang ramai membawa bekalan bantuan keluar dari kawasan itu, termasuk kotak yang berlabel “GHF”.
GHF menyalahkan “sekatan yang dikenakan oleh Hamas” sebagai punca kelewatan selama beberapa jam di salah satu pusat mereka.
Dalam kenyataan berasingan, pejabat media Hamas berkata bahawa usaha baru Israel mengagihkan bantuan di Gaza telah “gagal sepenuhnya”.
“Kegagalan ini berlaku selepas ribuan orang yang kelaparan, yang telah dikepung dan dinafikan makanan serta ubat-ubatan selama kira-kira 90 hari, bergegas ke kawasan itu dalam satu adegan yang tragis dan menyedihkan,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan pada 27 Mei, GHF berkata sekitar “8,000 kotak makanan telah diagihkan setakat ini dengan jumlah keseluruhan 462,000 hidangan”.
Sebelum itu, GHF memaklumkan bahawa operasi mereka bermula sehari sebelum itu.
Seorang pegawai kanan tentera Israel berkata “agihan bantuan hari ini (27 Mei) oleh pihak Amerika berjaya”, sambil mendakwa Hamas telah cuba menakut-nakutkan orang awam supaya menjauhi pusat bantuan, tetapi penduduk Gaza tetap hadir untuk mengambil ribuan pek bantuan.
Israel telah memudahkan usaha GHF mengagihkan bantuan di Gaza, dengan alasan mahu mengelak bantuan daripada jatuh ke tangan Hamas.
“Kami telah merangka pelan dengan rakan Amerika untuk mengadakan tapak agihan yang terkawal, di mana syarikat Amerika akan mengagihkan makanan kepada keluarga Palestin,” kata Encik Netanyahu pada 27 Mei.
“Memang ada kehilangan kawalan seketika. Mujurlah, kami dapat mengawalnya semula,” ujarnya lagi.
GHF telah dikritik kerana didakwa membantu Israel memenuhi matlamat ketenteraannya sambil meminggirkan rakyat Palestin, memintas sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan gagal mematuhi prinsip kemanusiaan.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menyifatkan kejadian itu “menyayat hati” dan menambah bahawa “kami dan rakan-rakan kami mempunyai pelan yang terperinci, berprinsip dan praktikal yang disokong oleh negara anggota untuk menyampaikan bantuan kepada populasi yang sangat memerlukan”.
GHF yang berdaftar di Geneva pada Februari lalu, tidak mempunyai pejabat atau wakil yang diketahui di ibu kota tidak rasmi dunia kemanusiaan itu.
Mantan pengarah eksekutifnya, Encik Jake Wood, mengumumkan peletakan jawatannya pada 25 Mei, dengan alasan mustahil melaksanakan tugas tersebut selaras dengan prinsip kemanusiaan.
Sesetengah pekerja kemanusiaan berpendapat bahawa penetapan tapak agihan yang selamat bercanggah dengan prinsip kemanusiaan kerana memaksa penduduk yang sudah kehilangan tempat tinggal untuk berpindah lagi demi kelangsungan hidup.
Pengkritik turut mempersoalkan siapa yang menentukan lokasi pusat agihan itu, terutama apabila mengambil kira rancangan Israel untuk “menakluki” Gaza.
Dalam satu artikel yang diterbitkan pada 24 Mei, The New York Times, yang memetik pegawai Israel tanpa nama, melaporkan bahawa rancangan bantuan baru yang disokong Amerika untuk Gaza “dirancang dan dibangunkan secara besar-besaran oleh Israel sebagai cara untuk melemahkan Hamas”.
PBB telah menolak penglibatan dalam rancangan GHF, dengan jurucakapnya berkata ia “tidak selaras dengan prinsip asas kami, termasuk prinsip tidak berpihak, berkecuali dan kebebasan”.
Cogat, badan Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam di wilayah Palestin, berkata “95 trak milik PBB dan masyarakat antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan” dibenarkan memasuki Gaza pada 27 Mei.
Dalam kenyataan berasingan, Cogat mendakwa ratusan trak menunggu di dalam Gaza untuk diambil oleh PBB.
“Jangan terpedaya dengan maklumat palsu. PBB masih enggan melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya di X. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg