Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan AS mula operasi di Gaza sedang Israel teruskan serangan

May 27, 2025 | 11:44 AM
sempadan Kerem Shalom, Jaluran Gaza
Sebuah trak yang membawa bantuan kemanusiaan dilihat merentasi sempadan Kerem Shalom, di selatan Israel dengan Jaluran Gaza, pada 22 Mei di tengah-tengah tekanan antarabangsa ke atas Israel yang telah menyekat bantuan sejak tiga bulan lalu. - Foto AFP

JALURAN GAZA: Sebuah yayasan yang disokong Amerika Syarikat berkata pada 26 Mei bahawa ia telah memulakan operasi menyalurkan bantuan makanan ke tapak pengedaran sehari selepas pengarah eksekutifnya meletak jawatan kerana operasi itu tidak mematuhi “prinsip kemanusiaan”.

Pelan bantuan itu, yang telah disahkan oleh Israel tetapi ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terbongkar di tengah-tengah ketidakpastian sama ada bantuan sebenarnya telah sampai kepada orang awam.

Penduduk Palestin melaporkan tiada tanda penghantaran bantuan pada awal 26 Mei, tetapi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) kemudian berkata trak muatan makanan – ia tidak menyatakan berapa banyak – telah dihantar ke habnya, dan pengedaran telah pun dimulakan.

Tiada maklumat mengenai di mana hab itu terletak atau siapa penerima bekalan tersebut.

“Lebih banyak trak bantuan akan dihantar dengan jumlah bantuan meningkat setiap hari,” kata GHF dalam satu kenyataan.

GHF mengambil alih pengendalian bantuan walaupun mendapat bantahan daripada PBB.

Bekalan yang sangat diperlukan mula masuk pada hari yang menyaksikan serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 52 orang di Gaza.

PBB dan kumpulan bantuan telah menolak sistem baru itu tidak akan berkesan dengan mendakwa Israel cuba menggunakan makanan sebagai senjata.

Israel telah mendesak pelan penyampaian bantuan alternatif dengan tujuan menghalang Hamas daripada merampas bantuan.

PBB telah menafikannya.

Pada 25 Mei, ketua GHF, Encik Jake Wood, meletak jawatan atas alasan yayasan itu tidak akan dibenarkan beroperasi secara bebas.

Dalam satu kenyataan beliau berkata adalah “tidak mungkin untuk melaksanakan rancangan ini sambil berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, berkecuali, kesaksamaan, dan kebebasan”.

Encik John Acree telah dilantik untuk menggantikan Encik Wood,

GHF berkata tempat pengedaran bantuannya akan dikawal oleh firma keselamatan swasta dan bantuan itu akan menjangkau sejuta rakyat Palestin – kira-kira separuh daripada penduduk Gaza – menjelang akhir minggu ini.

Terdapat empat pusat pengedaran utama di selatan Gaza yang akan menyaring keluarga untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan Hamas, menerusi pengecaman muka atau teknologi biometrik, menurut pegawai bantuan.

Namun, tidak jelas sama ada kumpulan bantuan yang enggan bekerjasama dengan yayasan itu masih boleh menghantar trak.

Hamas mengecam sistem baru itu dengan menyatakan ia akan “menggantikan ketenteraman dengan huru-hara, menguatkuasakan dasar kebuluran orang awam Palestin, dan menggunakan makanan sebagai senjata semasa perang.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg